Pemuda Pas cadang demonstrasi skala besar sokong Naib Canselor UM

Sinar Harian
Oktober 20, 2019 11:53 MYT
Khairil Nizam (kanan) ketika menghadiri program Townhall Mega Anak Muda di Bangi malam tadi. - Foto Sinar Harian
Pemuda Pas bercadang untuk menganjurkan demonstrasi berskala besar bagi menyatakan sokongan kepada Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Ir Abdul Rahim Hashim.
Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, tarikhnya masih belum diputuskan dan pihaknya akan meminta kebenaran kepada UM terlebih dahulu sebelum menganjurkan demonstrasi berkenaan.
“Insya-ALLAH kami akan bersama mahasiswa dan akan mengajak rakan dari Barisan Nasional juga, bersama kita turun ke demonstrasi ini. Kita akan minta kebenaran dulu dengan pihak UM dan kalau dibenarkan, kita akan buat di sana.
“Tarikh belum ada tapi kita akan buat di UM dalam skala besar,” katanya pada sidang media selepas program Townhall Mega Anak Muda di sini malam tadi.
Baru-baru ini, seorang mahasiswa UM melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universiti itu sejurus selepas menerima skrol ijazah.
Graduan itu, Wong Yan Ke berjalan turun ke bawah pentas sempat berhenti sebentar, membuka plakad dan melaungkan, “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.
Sementara itu, dalam ucapan Khairil Nizam sebelum itu, beliau menganggap tindakan Yan Ke merupakan budaya yang amat tidak baik.
“Jangan buat seperti mana dibuat makhluk perosak di UM baru-baru ini. Ini makhluk perosak, tiada adab tiada akhlak, tidak boleh diterima akal. Hidup mesti berakhlak, jadi rakyat Malaysia yang baik.
“Kita harap bila kita buat demonstrasi halal ini, makhluk-makhluk perosak ini akan keluar dan suarakan tidak puas hati mereka. Jadi kita akan kenal makhluk-makhluk perosak ini, sediakan bygon (penyembur serangga) secukupnya,” katanya.
Katanya lagi, beliau yakin pensyarah yang berada di atas pentas itu juga ingin mengambil tindakan terhadap mahasiswa tersebut.
“Tetapi oleh kerana mereka memahami semangat konvokesyen pada hari itu, menghormati majlis maka mereka membiarkan,” katanya.
Selasa lepas, UM juga telah membuat laporan polis berhubung tindakan graduan kejuruteraan awam itu yang melakukan protes pada Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59.
UM dalam kenyataannya berkata, pihaknya kini menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, kelakuan graduan berkenaan biadab dan tidak dapat diterima sama sekali.
#Abdul Rahim Hashim #demonstrasi #graduan biadab #Khairil Nizam Khirudin #konvokesyen #mahasiswa #Naib Canselor UM #PAS #Pemuda Pas #polis #protes #siasatan #UM
;