Pemuda MIC tegas tidak benarkan sekolah vernakular dimansuh
Bernama
Disember 11, 2021 20:08 MYT
Disember 11, 2021 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda MIC menegaskan tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk memansuhkan sekolah vernakular khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil di negara ini.
Ketua Pemuda MIC Kebangsaan K.Raven Kumar berkata ia susulan setiap pemimpin parti berusia 75 tahun itu pernah berusaha dan bekerja kuat demi pembangunan sekolah Tamil sejak dahulu.
"Sekolah vernakular Tamil merupakan harta kami, denyut nadi kami. Justeru, Pemuda MIC di bawah kepimpinan Tan Sri S.A Vigneswaran (Presiden MIC) tidak sesekali akan membenarkan sesiapa sentuh SJK Tamil," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di sini hari ini.
Beliau berkata mempertahankan dan memperjuangkan SJK Tamil seperti yang yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia, antara empat resolusi diluluskan Pemuda MIC pada mesyuarat sayap parti itu.
Resolusi kedua adalah Pemuda MIC akan membantu belia-belia India dengan memperkenalkan peluang pekerjaan dan juga menjana usahawan India yang baharu.
Selain itu, Pemuda MIC juga memberi kepentingan untuk meneruskan pembelajaran hingga ke peringkat universiti selain meluaskan pengetahuan dalam bidang politik dengan menghadiri seminar serta kursus.
Resolusi terakhir adalah memberi kepentingan dalam penglibatan belia India di arena sukan tanah air dan mendorong mereka untuk mewakili negeri dan negara.
Sementara itu, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita MIC turut meluluskan tiga resolusi termasuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan Vigneswaran.
Resolusi lain adalah memberi sokongan penuh kepada Ketua Wanita MIC Datuk Mohana Muniandy serta menunaikan janji dalam manifesto Vetri Magalir seperti yang diketengahkan dalam pemilihan MIC yang diadakan beberapa bulan lepas.
Terdahulu, Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC yang dihadiri seramai 1,500 perwakilan itu dirasmikan Timbalan Presiden parti Datuk Seri M.Saravanan.
Perhimpunan Agung Tahunan parti itu akan diadakan esok.
-- BERNAMA