Pemuda MCA mahu buka keahlian kepada masyarakat bukan Cina
Nuradilla Noorazam
Oktober 23, 2016 12:06 MYT
Oktober 23, 2016 12:06 MYT
Pemuda MCA bercadang untuk membuka keahlian gabungan kepada masyarakat bukan Cina selepas menyedari parti tersebut berdepan dengan masa depan yang tidak pasti berhubung kehilangan sokongan pengundi Cina.
Pengerusinya Datuk Chong Sin Woon berkata MCA boleh menjadi parti pertama dalam kalangan parti asas Barisan Nasional dengan ahli yang mewakli pengundi berbilang kaum.
Chong berkata Barisan Nasional pernah membuka keahlian di kalangan semua kaum, terutamanya mereka yang tidak menjadi ahli di dalam mana-mana parti.
Namun perkara tersebut tidak mendapat sambutan yang diharapkan kerana masyarakat masih belum bersedia, ujar beliau.
"Kami akan membawa usul ini sewaktu mesyuarat agung tahunan nanti supaya perlembagaan parti dapat digubah untuk membenarkan cadangan ini," kata Chong.
"Kami bermula sebagai parti untuk satu bangsa namun kami mahu lihat ke hadapan dan menjadi parti berbilang bangsa suatu hari nanti. Ahli-ahli MCA masih tidak bersedia untuk keahlian penuh masyarakat bukan Cina, maka kami mahu mulakan dengan ahli gabungan dahulu," ujarnya.
Portal Malay Mail Online hari ini melaporkan Pemuda MCA mahu parti tersebut membuka keahlian penuh kepada masyarakat bukan Cina suatu hari nanti, sekiranya hasrat itu diluluskan di Perhimpunan Agung MCA November depan.
Chong berkata demikian di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA Negeri Selangor di Wisma MCA, di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Presiden MCA dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Liow berkata beliau menyambut baik cadangan membuka keahlian kepada kaum bukan Cina sebagai tanda sokongan parti tersebut terhadap BN.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mengadakan sesi dialog yang melibatkan golongan muda termasuk Pemuda MCA. Ini tanda sokongan parti itu terhadap wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam ucapan Najib, beliau menyerahkan tanggungjawab pelaksanaan TN50 kepada Kementerian Budaya dan Sukan dalam misi kerajaan untuk memperkasa golongan belia.