Pemuda GPS kecam DAP Sarawak

Angelina Sinyang
Mac 4, 2020 12:57 MYT
Tindakan tersebut jelas menunjukkan betapa DAP Sarawak termasuk Dr Kelvin sebenarnya lebih pentingkan diri dan kuasa, berbanding kepentingan rakyat dan negeri Sarawak. - Gambar fail
Pemuda Parti Gabungan Sarawak (GPS) mengutuk tindakan DAP Sarawak termasuk Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii kerana menyalahkan GPS sebagai punca tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Kenyataan mengecam tindakan DAP itu dikeluarkan bersama oleh empat Ketua Pemuda mewakili GPS iaitu Ketua Pemuda Parti Bumiputera Bersatu (PBB), Gerald Rentap Jabu; Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Snowdan Lawan, Datuk Snowdan Lawan; Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Micheal Tiang Ming Tee dan Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Robert Ayu.
Menerusi kenyataan bersama itu, keempat-empat pemimpin terbabit mempertikaikan kenapa DAP Sarawak termasuk Dr Kelvin 'bising' menyalahkan GPS, sedangkan selama 21 bulan berkuasa sebelum ini mereka langsung tidak bersuara memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak yang diabaikan serta projek untuk negeri ini yang ditarik balik oleh kerajaan PH.
Ujar kenyataan itu, tindakan tersebut jelas menunjukkan betapa DAP Sarawak termasuk Dr Kelvin sebenarnya lebih pentingkan diri dan kuasa, berbanding kepentingan rakyat dan negeri Sarawak.
“Dakwaan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang menyalahkan GPS kononnya menjadi sebahagian daripada gerakan membentuk apa yang mereka dakwa sebagai kerajaan pintu belakang dan menuduh GPS sebagai memanupulasi kemelut politik yang melanda negara, adalah satu kenyataan terdesak dan sengaja dicipta untuk mengelirukan rakyat.
“DAP dan PKR yang menjadi punca kepada kemelut politik negara. Jika mereka tidak terlalu mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, PH mungkin masih lagi berkuasa hingga ke hari ini,” ujar kenyataan itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, sekiranya DAP dan PKR konsisten mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, kemelut politik negara akan selesai lebih awal dan Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri.
Kata kenyataan itu, Dr Kelvin dan DAP patut cermin diri melihat semua insiden yang berlaku ini sebenarnya angkara siapa?
Ini tidak, katanya, mereka asyik berebut kuasa sesama sendiri sehingga rakyat dan negara yang menjadi mangsa.
“GPS tersepit di tengah-tengah kemelut yang melanda dan dijemput melalui ‘pintu hadapan’ untuk membuat pilihan dan keputusan bagi menyelesaikan kemelut yang dicipta oleh PH sendiri. GPS memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan supaya politik negara kembali stabil dan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada usaha memacu kembali ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat,” jelas kenyataan itu.
Pemuda GPS turut mempersoalkan di mana DAP Sarawak ketika banyak projek infrastruktur di pedalaman negeri dibatalkan semasa kerajaan PH enggan menyediakan bajet untuk sekolah daif, Petronas enggan membayar 5 peratus cukai petroleum dan semasa ada pemimpin PH menyuarakan niat menghapuskan autonomi Imigresen Sarawak.
Malah, mereka turut berdiam diri ketika PH memindah pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Borneo ke Sabah, melantik warga `Malaya’ sebagai Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan banyak lagi kepentingan Sarawak terjejas sepanjang PH berkuasa.
Dalam kenyataan itu, Pemuda GPS turut menegur DAP kerana menakut-nakutkan rakyat Sarawak dengan kehadiran UMNO dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN), sedang hala tuju perjuangan GPS tetap akan berdiri atas kapasiti sebuah entiti politik Sarawak dan tidak akan menyertai Muafakat Nasional (MN) mahu pun PN.
“Mungkin DAP sudah lupa bahawa DAP dan PKR yang sebenarnya dahulu pernah ‘tidur sebantal’ dengan Pas dalam Pakatan Rakyat. Keutamaan GPS tetap Sarawak didahulukan dan GPS akan terus bertegas dalam memperjuangkan hak Sarawak seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dan tidak akan membenarkan sebarang unsur yang boleh menganggu-gugat keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini daripada menyerap masuk ke negeri ini,” ujar kenyataan itu.
#DAP #DAP Sarawak #GPS #Kelvin Yii #Muafakat Nasional #Muhyiddin Yassin PM ke-8 #PBB #Perikatan Nasional #Sarawak #SPDP
;