Pemuda giat daftar lebih 100,000 ahli sebagai pengundi - Khairy
Bernama
Oktober 29, 2016 07:45 MYT
Oktober 29, 2016 07:45 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO akan mempergiatkan usaha mendaftarkan lebih 100,000 anggotanya sebagai pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata inisiatif tersebut telahpun bermula dan berharap ia bukan sahaja melibatkan anggota pergerakan itu, malah golongan muda lain.
"Kita mahu meningkatkan tahap sokongan golongan muda kepada UMNO dan BN. Kita (Pemuda) akan berbincang beberapa strategi untuk menambah bilangan pengundi berdaftar yang terdiri daripada anggota Pemuda yang masih lagi belum mendaftar.
"Mereka ini (yang belum mendaftar) terdiri daripada anak-anak muda yang ada talian keluarga dengan UMNO," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Retreat Pergerakan Pemuda Umno di Tasik Kenyir, di sini Sabtu.
Program yang melibatkan kesemua pemimpin kanan Pemuda di setiap negeri itu dirasmikan Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman.
Selain itu Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan mengingatkan mana-mana anggotanya supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 5 yang dijadual berlangsung 19 Nov ini di Dataran Mereka, Kuala Lumpur.
Katanya, tindakan tersebut mendedahkan mereka untuk dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar Perlembagaan Parti.
Ditanya mengenai tindakan sekiranya Pemuda menyertai Pasukan Baju Merah, beliau berkata:"Sertai Baju Merah tak apalah melainkan mereka bertindak di luar batas undang-undang...jika secara aman tiada masalah."
"Nasihat saya jangan kita mencetuskan keadaan huru hara di Kuala Lumpur seperti yang pernah berlaku semasa Bersih yang lalu, ada pegawai polis dicederakan...ada kedai-kedai dipecah...saranan saya PDRM tidak membenarkan perhimpunan Bersih itu berlaku.
"Perhimpunan Merah itu diadakan sebagai tindak balas dan saya yakin jika tiada Bersih, Merah ini tidak akan adakan demonstrasi mereka. Jadi bebannya terletak pada Bersih. Merah ini nak tunjuk bahawa mereka menentang Bersih...tetapi kalau Bersih tidak buat apa-apa...Merah juga tak buat apa-apa.
"Cara terbaik ialah tidak membenarkan perkara ini (perhimpunan Bersih) diadakan," katanya.
Terdahulu, Khairy sempat beramah mesra dengan hampir 2,000 penduduk kampung di Hulu Terengganu yang menyertai Pertandingan memasak bubur Asyura.
Sebanyak 100 kawah bubur Asyura telah dimasak hari ini melibatkan penyertaan lebih 50 kumpulan dari pelbagai kampung di Telemong, Hulu Terengganu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. -- BERNAMA