Pemuda desak Palanivel muhasabah diri

Bernama
Jun 22, 2015 01:11 MYT
Khairy berkata beliau percaya Perdana Menteri hanya mahu masalah dalaman parti komponen itu diselesaikan dengan cepat bagi mengelak sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya daripada kaum India merosot. - Gambar Fail
Pemuda UMNO mendesak Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel bermuhasabah diri dan melihat kelemahan yang ada bagi menyelesaikan kemelut parti itu.
Ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata pemimpin parti-parti komponen tidak sepatutnya menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung masalah dalaman yang dihadapi parti masing-masing.
"Saya dan Pemuda mendesak supaya Palanivel bermuhasabah diri dan lihat kelemahan yang ada pada kepimpinan MIC itu sendiri.
"Itu yang jadi punca kemelut dan krisis kepimpinan MIC, bukannya Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.
Pada Ahad, Najib menegur Palanivel kerana memutarbelitkan fakta dan mengheret orang lain ke dalam krisis parti itu.
Khairy berkata beliau percaya Perdana Menteri hanya mahu masalah dalaman parti komponen itu diselesaikan dengan cepat bagi mengelak sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya daripada kaum India merosot.
Khairy berkata BN telah menerima sokongan yang baik daripada kaum India pada pilihan raya umum lepas dan berharap ia akan terus meningkat pada pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Khairy berkata Pemuda bersetuju memberi masa kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memulihkan keadaan.
Bagaimanapun, katanya pihaknya akan memantau secara menyeluruh perkembangan 1MDB dan akan menyuarakan pandangan sekiranya timbul permasalahan pada syarikat pelaburan kerajaan itu.
Mengenai isu pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji, Khairy berkata Pemuda kekal dengan keputusan supaya aset itu dijual walaupun terdapat gesaan daripada Anggota Parlimen yang meminta supaya ia tidak dijual bagi memperoleh keuntungan yang lebih pada masa depan.
#G.Palanivel #MIC #Najib Razak #Pusat Dagangan Dunia Putra
;