Pemuda DAP Perak yakin pembangkang mampu rampas lapan kerusi DUN
Bernama
Januari 25, 2018 06:50 MYT
Januari 25, 2018 06:50 MYT
Pemuda DAP Perak yakin pakatan pembangkang dapat merampas lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis.
Ketuanya Wong Kah Woh berkata lapan kerusi terbabit ialah Manjoi, Kubu Gajah, Kamunting, Lubok Merbau, Manong, Rungkup, Changkat Jong dan Pasir Panjang.
"Jika kita dapat kekalkan 24 kerusi yang ada sekarang dan mampu menang lapan kerusi ini, kita mampu bentuk kerajaan di Perak dengan 32 kerusi secara keseluruhannya. Ini adalah hasil analisis secara konservatif," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pemuda Pakatan Harapan Perak, di sini malam ini oleh Pengerusi Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata pakatan pembangkang akan mengutamakan calon muda untuk bertanding pada PRU akan datang.
"Melihat kepada saringan, kita jangka calon muda yang akan bertanding (di Perak) mungkin melebihi 20 peratus," katanya, menambah senarai penuh calon pembangkang Perak dijangka diumum hujung bulan ini.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu
#calon muda
#DAP
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#pemuda
#Perak
#pilihan raya umum
#PRU