Pemuda BN beri kata dua putus hubungan dengan Pemuda MCA Pasir Gudang

Hamzah Hamid
September 27, 2015 11:51 MYT
KHAIRY: Pemuda Barisan Nasional bagaimanapun tidak mempunyai kuasa disiplin ke atas parti komponen.
Pemuda Barisan Nasional (BN) terpaksa putus hubungan dengan Pemuda MCA Pasir Gudang jika mereka masih meneruskan pendirian untuk memutuskan hubungan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Ketua Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu mungkin diambil memandangkan pihak Pemuda BN keseluruhannya tidak boleh menerima malah mengecam pendirian tersebut.
“Kalau mereka bertegas untuk meneruskan maka kita terpaksa putuskan hubungan dengan mereka sebagai komponen Pemuda BN,” kata beliau.
Tambahnya, walaupun pandangan yang berbeza itu suatu yang biasa namun pendirian Pemuda MCA itu disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak wajar kerana hubungan dengan kepimpinan parti tidak boleh diputuskan.
“Pemuda BN tidak mempunyai kuasa disiplin ke atas parti komponen. Kita tidak boleh gantung parti komponen sebab itu bukan dalam peraturan Pemuda BN memandangkan kita semua adalah gabungan,” jelas Khairy yang ditemui media selepas melancarkan acara Walk-a-Mile Hari Jantung Sedunia 2015 di Taman Botani Perdana di ibu negara.
Pada Ahad lalu, Pemuda MCA Pasir Gudang memutuskan hubungan dengan Najib susulan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu.
Ketua Pemudanya Chia Chow Hui turut dilaporkan berkata, himpunan 'Baju Merah' pada tarikh tersebut dilihat medium untuk menghancurkan keharmonian kaum.‎
BACA: 'Tiong Lai, mahu sokong Pemuda MCA Pasir Gudang atau tidak?' - Pemuda UMNO
#Barisan Nasional #Khairy Jamaluddin #pemuda #pemuda mca pasir gudang #putus hubungan
;