Pemuda BN akan buka bilik gerakan di Sarawak - Khairy
Wan Syamsul Amly
Januari 11, 2016 20:14 MYT
Januari 11, 2016 20:14 MYT
Bilik gerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) akan dibuka di Sarawak dalam tempoh terdekat sebagai usaha membantu pada pilihan raya negeri itu yang dijangka diadakan pada Mac ini.
Ketua Pergerakan Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, ia akan diterajui Pemuda BN Sarawak sendiri.
Katanya, ia merupakan usaha terdekat walaupun mengakui calon-calon pemuda untuk pilihan raya negeri itu masih belum dibincang.
"Kita akan membuka bilik gerakan di Kuching dalam masa terdekat. Saya minta jentera Pemuda supaya memainkan sokongan selain kempen jentera akan diterajui Pemuda BN Sarawak sendiri," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.
Ia merupakan mesyuarat pertama Pemuda UMNO untuk tahun ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem membayangkan bahawa pilihan raya negeri Sarawak mungkin diadakan pada Mac.
Adenan turut meminta rakyat Sarawak menunaikan janji mereka kepada kerajaan dengan memberinya lima tahun lagi tempoh sebagai Ketua Menteri.
Selain itu kata Khairy, Pemuda UMNO akan menumpukan tiga perancangan utama gerak kerja sepanjang 2016.
"Ia melibatkan Konvensyen Dana Bumiputera, Program Pemuda Mahir selain Jom Belajar Coding yang menumpukan kemahiran dalam bidang komputer.
"Isu dana memastikan bantuan tanpa birokrasi kepada usahawan Melayu dan kemahiran Pemuda memastikan masa depan cerah terutama mengubah persepsi vokasional menjamin masa depan cerah sebagai peluang kepada anak muda sendiri," ujarnya.