Pemuda Amanah cadang ADUN dihadkan dua penggal

Bernama
Disember 16, 2023 07:15 MYT
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) meluluskan usul agar tempoh perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu dihadkan kepada hanya dua penggal. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) meluluskan usul agar tempoh perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu dihadkan kepada hanya dua penggal.
Usul yang dibawa perwakilan Pemuda Amanah Kawasan Balik Pulau, Faizul Shaiffe itu diterima melalui undian dengan lebih suara bersetuju ketika Konvensyen Pemuda Amanah Nasional yang dihadiri 527 perwakilan di Bangsar, pada Sabtu.
Faizul ketika membentangkan usul berkenaan berkata, langkah itu dapat membuka peluang kepada lebih ramai ahli Amanah yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin dan mentransformasikan parti, sekali gus menarik sokongan rakyat.
"Transformasi ini dapat memastikan parti menarik minat rakyat untuk terlibat secara langsung dengan Amanah agar parti kita dapat berkembang dalam Pakatan Harapan," katanya.
Beliau berkata, cadangan itu juga dapat memastikan lebih ramai ahli muda memiliki peluang untuk memegang jawatan dalam parti, sekali gus meremajakan Amanah.
Ketika sesi perbahasan, perwakilan Negeri Pulau Pinang, Ghazali Ismail turut mencadangkan pindaan kepada usul itu agar tempoh perkhidmatan Ahli Parlimen dan Senator juga dihadkan kepada dua penggal, namun cadangan pindaan itu ditolak.
Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan ADUN itu akan dibawa Pemuda Amanah ke Konvensyen Amanah Nasional yang akan diadakan di Klang, Selangor pada 23 dan 24 Dis ini.
Pada konvensyen itu, Pemuda Amanah turut meluluskan 20 usul lain yang tidak dibahaskan, manakala satu ditolak. - BERNAMA
#Pemuda Amanah #Parti Amanah Negara #tempoh ADUN dihadkan #dua penggal
;