Pemimpin UMNO perlu berhenti serang PKR, hormati aspirasi Kerajaan Perpaduan - AMK

Firdaus Azil
Oktober 17, 2024 22:22 MYT
Beberapa pimpinan kanan AMK PKR mempersoal tindakan beberapa pemimpin UMNO, yang seolah-olah ingin terus berbalah, dan tidak berminat untuk mendukung aspirasi Kerajaan Perpaduan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pimpinan kanan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoal tindakan beberapa pemimpin UMNO, yang seolah-olah ingin terus berbalah dan tidak berminat untuk mendukung aspirasi Kerajaan Perpaduan.
Mereka berpandangan, kritikan dan berterusan pemimpin tersebut, antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh, seolah-olah mahu ‘menghancurkan’ kemurnian Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Strategik AMK Pulau Pinang, Ahmad Fazley Abdul Hafiz berkata, dakwaan Mohd Puad terhadap Anwar, yang seolah-olah merestui parti komponen menyerang di antara satu sama lain, adalah tidak wajar sama sekali.
“Jadi apa yang kamu mahu PM Anwar buat? Adakah kamu mahu kerajaan ini terus berbalah dan berantakan, baru puas hati? Janganlah kerana kepentingan peribadi dan orang tertentu, kita hendak hancurkan kemurnian dalam Kerajaan Perpaduan ini.
“Di mana kamu bila saudara Akmal Ketua Pemuda UMNO serang kami dengan pelbagai perkara secara terbuka? Apa yang kita mahukan daripada sesetengah ahli UMNO seperti Puad Zarkashi ialah perasaan hormat menghormati antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.
Ahmad Fazley berkata, semua pihak harus ingat bahawa Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas saranan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, susulan tiada parti yang mendapat majoriti yang diperlukan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Polemik bermula apabila Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dalam siaran ‘podcast’ baru-baru ini mendakwa bahawa beliau telah menerima panggilan daripada Anwar sendiri untuk tidak mencabar keputusan pilihan raya umum bagi Parlimen Bagan Datuk lepas.
Keputusan ketika itu menyaksikan beliau tewas kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan majoriti tipis 348 undi.
Pendedahan Shamsul Iskandar itu telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pimpinan UMNO, yang menganggap seolah-olah kemenangan Ahmad Zahid bukan berdasarkan merit atau keputusan yang sah.
Turut menganggap pendedahan itu tidak wajar adalah Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh sendiri, yang berpandangan tidak wajar untuk mana-mana pihak memberikan pandangan sendiri mengenai apa yang berlaku selepas PRU ke-15 berakhir pada 2022.
Sementara itu, Dr Akmal pula berpandangan Shamsul Iskandar ketika itu sepatutnya membuat bantahan terus kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika merasakan kemenangan sepatutnya berpihak kepada beliau.
Dalam pada itu Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK, Mohd Nashriq Othaman berharap agar pemimpin-pemimpin UMNO tersebut berjiwa besar, seperti mana Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang melihat, rundingan antara parti untuk membentuk kerajaan merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi.
“Kalaulah orang-orang dalam UMNO seperti Dr Akmal, Jazlan dan Puad Zarkashi mempunyai jiwa yang besar dan pemikiran yang matang seperti Mohamed Nazri, kerjasama Kerajaan Perpaduan ini akan berjalan baik tanpa ada masalah.
“Kalau nak berpolitik, masa pilihanraya nantilah. Sekarang ni masa untuk kita bekerja untuk Malaysia. Macam Datuk Seri Mohamed Nazri, dia bekerja keras di Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat, ini adalah contoh yang baik,” katanya.
Mohd Nashriq turut berharap agar pemimpin-pemimpin UMNO tersebut menghentikan serangan dan akur dengan arahan Presiden mereka sendiri, bukannya dengan melawan dan ingkar dengan pemimpin.
“Kita ada amanah dari Yang di-Pertuan Agong sejak kita dapat membentuk kerajaan pada 24 November yang lalu. Hargailah kerjasama ini demi kebaikan negara,” katanya.
#Angkatan Muda Keadilan #Parti Keadilan Rakyat #UMNO #Suruhanjaya Pilihan Raya
;