Pemimpin UMNO jangan beri muka kumpulan haluan kanan - Azwan Bro

Astro Awani
November 21, 2014 19:52 MYT
AZWAN BRO: Pemimpin UMNO jangan beri muka kumpulan berhaluan kanan. -Gambar fail
Pimpinan tertinggi UMNO diminta tidak memberi lebih perhatian terhadap mana-mana kumpulan politik berhaluan kanan yang mendakwa memperjuangkan lebih kepada kepentingan kaum Melayu.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ia dilihat ramuan utama kelangsungan parti untuk kekal relevan di negara ini.
Jelasnya, keikhlasan UMNO perlu diterjemah dengan pendekatan lebih sederhana dan tidak berlebih-lebihan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhaluan kanan.
"Pemuda mahu dilihat sentiasa progresif dan ingin melihat penyelesaian. Demi penyelesaian untuk memakmurkan negara, saya berpendapat jika kita bersifat terlalu terlalu 'ring wing' ini, ia tidak menjamin UMNO terus bertahan sampai bila-bila," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Jelasnya, pemimpin UMNO harus bersungguh-sungguh dalam mempraktikkan pendekatan kesederhanaan selain mengakui pendekatan haluan kanan tidak memberi tenaga tambahan kepada parti.
Ujarnya, UMNO juga tidak boleh terlampau mengikut suara pendesak Melayu yang boleh memudaratkan parti selain memberi impak ditinggalkan dari segi kemajuan minda ahli-ahli.
Dalam pada itu kata Khairul Azwan, pimpinan parti di semua peringkat yang terolong di dalam kategori senior juga harus mula berfikir untuk membuka jalan kepada pelapis muda dan berundur daripada jawatan sedia.
Jelasnya, proses peremajaan UMNO dilihat platform terbaik dalam usaha melihat parti sentiasa segar dan diterima setiap lapisan masyarakat.
"Ia perlu dilaksanakan segera dan perancangannya harus melibatkan kepimpinan tertinggi parti sendiri.
"Pimpinan parti akan memberi ruang kepada golongan muda untuk mempelajari bagaimana mentadbir masyarakat dengan cara mereka yang tersendiri dan unik.
"Mereka selama ini melihat idea dari segi teori dan peluang memimpin ini akan digunakan sepenuhnya dalam mentadbir parti, komuniti dan negara kelak," katanya.
Seramai 992 perwakilan Pemuda akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 25 sehingga 29 November ini.
#azwan #NGO #pemuda #perhimpunan #UMNO
;