Pemimpin UMNO jangan abai realiti masalah Melayu - Penganalisis
Nickyson Nyambar
Januari 7, 2021 08:46 MYT
Januari 7, 2021 08:46 MYT
KUALA LUMPUR: Kemelut yang berlaku dalam kepimpinan UMNO di peringkat pusat ketika ini menyebabkan masalah dihadapi oleh orang Melayu semakin tidak diendahkan.
Demikian pandangan pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis, yang menyatakan pucuk pimpinan UMNO seharusnya menyelesaikan kemelut yang melanda dengan kadar segera.
Ini supaya fokus dapat diberikan dalam mengembalikan ekonomi rakyat ke landasan yang stabil.
“Dalam konteks sekarang, selepas COVID-19 dan sebagainya, nampaknya isu-isu Melayu itu tidak lagi dilihat sebagai keutamaan.
“Ketika ini, isu ekonomi rakyat sangat menekan, khasnya dalam konteks hilang pekerjaan, selain tindakan kerajaan yang lambat memberikan respons dalam isu-isu berbangkit ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Ujar Mujibu, rakyat sudah letih menilai krisis politik yang berpanjangan ini.
“Isu yang sepatutnya didasari kerajaan adalah untuk kembali membangkitkan ekonomi ke landasan yang betul.
“Antara lain, menyelesaikan permasalahan rakyat,” tambahnya.
Dalam pada itu, mengulas kesediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jelas Mujibu, UMNO tidak boleh bergerak secara sendirian, sebaliknya perlu mengutamakan permuafakatan antara parti.
“Mereka perlu faham hakikat dalam konteks negara berbilang kaum, dengan isu mengundi mengikut jalur kaum, maka tidak ada parti yang barangkali mampu menjadi kerajaan jika bertanding secara bersendirian.
“Mereka (pemimpin UMNO) ini muncul sebagai ahli politik bukan atas kehendak ahli parti tetapi atas kehendak rakyat yang menentukan nasib mereka.
“Jadi, rakyat mengharapkan mereka menunaikan janji serta manifesto demi kesejahteraan mereka,” tegasnya.
#kepimpinan UMNO
#kemelut politik
#Mujibu Abd Muis
#COVID-19
#ekonomi negara
#kemelut
#parti politik
#pemimpin parti
#realiti masalah Melayu
#politik
#pilihan raya umum
#perintah kawalan pergerakan
#ekonomi
#pandemik
#PKP