Pemimpin UMNO hadir Muktamar Pas, ini respons Hadi
Sinar Harian
September 15, 2018 16:19 MYT
September 15, 2018 16:19 MYT
Kehadiran pemimpin UMNO dan parti-parti politik lain ke Muktamar Tahunan Pas ke-64 hari ini dilihat memberi nilai tambah kepada persidangan tersebut.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia juga menjadikan muktamar kali ini berbeza berbanding tahun-tahun lalu.
"Muktamar kita tahun ini berbeza dan dihadiri oleh banyak parti politik dalam Gagasan Sejahtera serta Umno dan MIC. Kita lihat ini adalah satu nilai tambah kepada muktamar.
"Sekurang-kurangnya kita dapat menyampaikan mesej Pas secara tak langsung kepada pimpinan tertinggi parti yang ada," katanya dalam sidang media selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-64, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Hari ini, sejarah tercipta apabila pimpinan tertinggi Umno termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Muktamar Pas Pusat ke-64.
Selain Umno, pimpinan MIC turut hadir iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri SK Devamany dan AJK Pusat, Datuk Seri M Saravanan.
#Abdul Hadi Awang
#MIC
#Muktamar Pas Pusat
#Muktamar Tahunan PAS
#PAS
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#UMNO
#Zahid Hamidi