Pemimpin sibuk berpolitik tidak akan berjaya rancang masa depan - Abang Jo
Shafik Ahmad
Januari 25, 2023 07:00 MYT
Januari 25, 2023 07:00 MYT
KUCHING: Keberhasilan rancangan pembangunan bergantung kepada kestabilan politik negeri dan negara dalam merangka masa depan yang lebih cerah, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, Sarawak memiliki kelebihan itu kerana meletakkan perpaduan rakyat sebagai perkara utama bagi membentuk kestabilan politik mampan.
Justeru, katanya, budaya politiking yang merugikan harus dihentikan jika mahu negara mencapai aspirasi kejayaan demi kesejahteraan rakyat.
“Kestabilan politik membolehkan pemimpin berfikir dengan baik apa yang hendak dilakukan untuk masa depan Sarawak.
“Malah kita merangka beberapa cara baharu dalam melaksanakan transformasi Sarawak, namun jika anda sibuk berpolitik, anda tidak akan berjaya merangka masa depan,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) bahagian Miri, di sini, pada Rabu.
Perkara itu, kata Abang Johari, diakui sendiri perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Brunei baru-baru ini yang menyifatkan Sarawak sebagai contoh terbaik sebagai negeri terkuat di Malaysia.
“Pada majlis malam di Brunei, perdana menteri berkata Semenanjung Malaysia harus belajar daripada Sarawak termasuk aspek menjana pendapatan menerusi ekonomi baharu yang akan mentransformasikan Sarawak khususnya dan amnya, Malaysia secara keseluruhan.
“Malah perkara turut disuarakan di hadapan tetamu kehormat dari Brunei, bagaimana beliau (Anwar) begitu menghargai kestabilan yang ditunjukkan oleh Sarawak,” katanya.