Pemimpin politik, orang kenamaan berhimpun di kediaman Muhyiddin
Fareez Azman
Oktober 25, 2020 22:37 MYT
Oktober 25, 2020 22:37 MYT
KUALA LUMPUR: Petugas media sudah mula berada di luar kawasan kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di ibu negara ketika ini.
Astro AWANI yang kini berada di lokasi mendapati beberapa buah kenderaan dipercayai membawa beberapa orang kenamaan termasuk pemimpin politik dilihat telah memasuki kediaman Perdana Menteri sejak petang tadi.
Difahamkan, satu perjumpaan diantara pemimpin politik dan Perdana Menteri di kediamannya sedang berlangsung dipercayai susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang Ahad yang antara lain menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.
Sementara itu, sekitar pukul 11 malam, beberapa kenderaan Menteri Kabinet dan orang kenamaan dilihat meninggalkan kediaman Perdana Menteri.
Antara yang dilihat, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad; Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan; Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; dan Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan.
Turut kelihatan kelibat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Ahmad Bakri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; dan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tujuan pertemuan itu ketika ini.
Pengamal media masih menantikan sebarang maklumat lanjut dari masa ke semasa.
#Muhyiddin Yassin
#Yang di-Pertuan Agong
#Darurat Malaysia
#Perlembagaan
#Politik Malaysia
#Anwar Ibrahim