Pemimpin PN sedia bekerjasama dengan SPRM berhubung dana kerajaan RM92.5 bilion - Wan Saiful

Astro Awani
Januari 10, 2023 17:17 MYT
Wan Saiful berkata walaupun siasatan itu kelihatan "bermotifkan politik", beliau mengakui bahawa SPRM bertanggungjawab untuk menyiasat dakwaan itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion semasa pandemik COVID-19 tiga tahun lalu.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan memberi jaminan, mana-mana pemimpin PN yang dipanggil SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
Wan Saiful berkata, walaupun siasatan itu kelihatan "bermotifkan politik", beliau mengakui bahawa SPRM bertanggungjawab untuk menyiasat dakwaan itu.
"PN telah beberapa kali dituduh menyalahgunakan dana sebanyak RM600 bilion. Angka ini sentiasa berubah.
"Kini, siasatan telah diteruskan. Kami faham bahawa kami adalah satu-satunya gabungan sekarang yang boleh menimbulkan cabaran serius kepada pentadbiran.
“Bagi saya, ini sama seperti pembunuhan karakter (Pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan berterusan sepanjang tahun ini.
"Pemimpin kita bersedia untuk disoal oleh SPRM dan memberikan kenyataan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi bersama pesawah di Tasek Gelugor pada Selasa.
Wan Saiful yang juga ahli parlimen Tasek Gelugor berkata rakyat juga sedang menunggu keputusan mengenai pemimpin politik yang dilabel sebagai "kluster mahkamah."
"Saya menghargai kenyataan Ketua Hakim Negara baru-baru ini bahawa terdapat usaha untuk menekan badan kehakiman. Kita pasti badan kehakiman akan berdiri teguh dengan integritinya yang utuh.
“Saya yakin rakyat juga tertunggu-tunggu status kes mahkamah berprofil tinggi melibatkan (Tan Sri) Shahrir Ab Samad yang kita sudah tahu keputusannya, (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor serta yang terbesar yang melibatkan (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah melaporkan pelanggaran serius terhadap prosedur perbelanjaan kerajaan yang melibatkan hampir RM600 bilion semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri.
Minggu lalu, dilaporkan bahawa Muhyiddin, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, akan dipanggil oleh SPRM berhubung siasatannya berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.
SPRM, dalam satu kenyataan semalam, berkata tumpuan siasatan kini tertumpu kepada RM92.5 bilion dana kerajaan, daripada jumlah RM600 bilion.
#Wan Saiful Wan Jan #Parti Pribumi Bersatu Malayasia #Perikatan Nasional #Muhyiddin Yassin
;