Pemimpin PKR kembali bersatu, dua kongres kini menjadi satu

Firdaus Azil
Disember 5, 2019 16:12 MYT
Bendera-bendera Parti Keadilan yang siap dipasang di tepi jalan memeriahkan lagi suasana Kongres Nasional Keadilan yang akan berlangsung esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh. - fotoBERNAMA
Buat pertama kali dalam sejarah sejak penubuhan Parti Keadilan Rakyat, atau Parti Keadilan Nasional sejak 1999, hampir terjadi dua kongres berlangsung serentak, ekoran sengketa dalaman antara pemimpin parti yang seperti tidak berkesudahan..
Yang pasti, Kongres Nasional Keadilan ke-14 akan berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, dan satu lagi yang digelar “Kongres Pintu Belakang” akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Namun pada saat-saat akhir, berlangsung satu pertemuan antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen, sekali gus menghentikan seketika cakap-cakap bahawa dua pemimpin ini langsung tidak boleh bertentang mata.
Azmin, yang juga merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sebelum ini hanya mendapat lampu hijau untuk merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK), yang lazimnya sering dirasmikan oleh Timbalan Presiden.
Kini, setelah bendera putih kembali diangkat, gencatan senjata dipersetujui, Azmin kini dijadualkan akan merasmikan Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita secara serentak di Dewan A, MITC, malam ini.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini akan merasmikan Kongres Nasional AMK, akan menutup kedua-dua persidangan sayap itu secara serentak, keesokan harinya.
Berdasarkan jadual yang diterima, garis masa majlis perasmian kongres sayap malam ini akan dimulakan ucapan Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir, diikuti ucapan Ketua Wanita Keadilan Pusat, Haniza Mohamed Talha.

Bertemu dan berbincang bagi mengukuhkan perpaduan parti. Dengan perbincangan yang terbuka, segala masalah boleh diselesai. pic.twitter.com/gpWjUJfzcL

— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) December 4, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Azmin akan mengambil giliran untuk melakukan perasmian serentak kedua-dua sayap berkenaan.
Bagaimana pun, media masih menanti jadual terbaharu perjalanan penuh kedua-dua kongres sayap berkenaan, kerana sehingga kini, urus setia parti memaklumkan, masih terdapat perubahan yang belum dimuktamadkan.
Namun, dalam sentimen yang agak berbelah bahagi di kalangan perwakilan pada kongres kali ini, topik perbahasan dijangka masih tertumpu ke arah mengukuhkan kekuatan parti sebagai tunjang di dalam Pakatan Harapan.
Kekalahan empat kali pilihan raya kecil di DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Cameron Highlands dan Parlimen Tanjung Piai dijangka akan disentuh secara mendalam dalam persidangan kali ini.
Pemerhati juga berpendapat beberapa perwakilan akan membangkitkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri sebagai persiapan awal dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka lebih mencabar untuk Pakatan Harapan.
Selain itu, sebagai parti pemerintah, sudah pasti isu yang masih melingkari masyarakat Malaysia seperti kos sara hidup, harga minyak, peluang pekerjaan dan perumahan akan turut disentuh secara kolektif.Dalam sentimen yang agak berbelah bahagi di kalangan perwakilan pada kongres kali ini, topik perbahasan dijangka masih tertumpu ke arah mengukuhkan kekuatan parti sebagai tunjang di dalam Pakatan Harapan.
Kekalahan empat kali pilihan raya kecil di DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Cameron Highlands dan Parlimen Tanjung Piai dijangka akan disentuh secara mendalam dalam persidangan kali ini.
Pemerhati juga berpendapat beberapa perwakilan akan membangkitkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri sebagai persiapan awal dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka lebih mencabar untuk Pakatan Harapan.
Selain itu, sebagai parti pemerintah, sudah pasti isu yang masih melingkari masyarakat Malaysia seperti kos sara hidup, harga minyak, peluang pekerjaan dan perumahan akan turut disentuh secara kolektif.
#DUN Rantau #DUN Semenyih #Kongres Nasional Keadilan #Kongres Pintu Belakang #Pakatan Harapan #Parlimen Cameron Highlands #Parlmen Tanjung Piai #Parti Keadilan Rakyat #peluang pekerjaan #perumahan #Wan Azizah Wan Ismail
;