Pemimpin PKR keluar kerana masalah dalaman parti - Dr Robert

Adie Sufian Zulkefli
Mac 5, 2021 12:25 MYT
Kata Dr Robert, cara pemilihan serta ketelusan pemimpin PKR dalam pemilihan juga diragui sehinggakan golongan muda tidak diberi peluang. - - Foto Facebook
SUNGAI PETANI: Masalah dalaman dan pemimpin PKR membuatkan ramai yang terkilan dan bertindak keluar daripada parti yang berusia lebih 20 tahun itu.
Itu pendedahan bekas pemimpin PKR dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam dan kini keluar menjadi bebas.
Dr Robert Ling Kui Ee berkata, keghairahan pemimpin tertinggi parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri sehingga tidak menjaga dasar serta kepentingan ahli membuatkan ramai yang hilang keyakinan terhadap wadah perjuangan parti itu.
Malah katanya, cara pemilihan serta ketelusan pemimpin dalam pemilihan juga diragui sehinggakan golongan muda tidak diberi peluang.
Justeru Robert juga tidak hairan dua Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti itu baru-baru ini dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
"Memang ada elemen di dalam PKR, mengapa kita hendak keluar parti. Semuanya cukup jelas, sebagai contoh pada pemilihan parti 2018, saya menentang Datuk Jo dan dia diangkat menjadi pengerusi negeri walaupun mendapat undian nombor tiga.
"Sebab itu saya rasa tidak puas hati, ini dirasai bukan saya seorang sahaja tetapi ramai lagi ahli. Mereka berkata mengenai demokrasi, kebebasan tetapi kenapa kita sahaja yang perlu melakukannya," tegasnya.
Dr Robert yang kini menjadi menjadi Exco Alam Sekitar dan Masyarakat Cina di Kedah berkata, keputusannya menyertai PN demi kebajikan rakyat, ekonomi negeri dan negara.
Katanya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, saban hari mereka diterapkan dengan semangat untuk mengurangkan berpolitik dan melebihkan menjaga keluh resah rakyat terutama ketika negara sedang berperang dengan pendamik COVID-19.
"Untuk keluar, saya rasa lagi senang keputusan ini merupakan yang terbaik dan semua faham tindakan ini. PKR menyatakan mahu menjadi perdana menteri namun sehingga kini mereka hanya berangan-angan sahaja," jelasnya.
Baru-baru ini dua Ahli Parlimen PKR, Larry Sng dan Steven Choong, masing-masing Ahli Parlimen Julau dan Ahli Parlimen Tebrau bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan terhadap PN.
#Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #PKR #ADUN #Cina #COVID-19 #Dr Robert Ling Kui Ee #ADUN Sidam #Politik Malaysia #Berita Terkini #berita Malaysia #Berita AWANI #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional
;