Pemimpin PH cuba tutup kepincangan lama Tun M - Ibdilillah
Astro Awani
Mac 14, 2018 07:00 MYT
Mac 14, 2018 07:00 MYT
Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) kini berusaha bersungguh-sungguh untuk menutup kepincangan yang berlaku pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak menegaskan, ia disebabkan baru kini PH sudah mula sedar bahawa Pengerusi PH sebenarnya adalah liabiliti buat mereka.
"Jika selama ini pemimpin-pemimpin utama PH sering mendedahkan kepincangan dan salah laku Mahathir, sekarang ini mereka telah mengetepikan prinsip-prinsip yang menjadi pegangan mereka selama ini.
"Kini rakyat sudah bijak menilai dan mereka berpeluang untuk menolak secara total hipokrasi, U-turn dan politik tidak berpendirian yang diamalkan oleh PH pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU14)," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, manifesto PH adalah satu usaha penuh hipokrasi dan berusaha keras membersihkan kesilapan polisi lampau kepimpinan Mahathir.
Tegasnya, cukup ironi dan amat hipokrit sekali apabila banyak perkara yang dicadangkan adalah perkara yang menjadi tunjang dan paksi kepimpinan zaman Pengerusi PH itu semasa menjadi perdana menteri dahulu.
Dalam pada itu kata Ibdilillah, menjelang PRU14, anak muda sekali lagi dihidangkan dengan janji manis dan harapan palsu seperti yang terkandung di dalam Manifesto PH.
"Salah satu janji mereka adalah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Felda dan Mara.
"Janji tersebut telah menimbulkan beberapa persoalan berkisar tentang prinsip dan komitmen pemimpin PH sendiri.
"Jika dahulu mereka telah berjanji untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat Mahathir yang dikatakan terlibat dalam pelbagai skandal kewangan selama menerajui tampuk pemerintahan negara, kini mereka pula yang membisu demi mengejar kuasa dan memenuhi agenda peribadi masing-masing," ujarnya.
Tambahnya, pada PRU13, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di dalam blognya pernah menulis mengenai penubuhan RCI untuk menyiasat kerugian RM100 Billion dalam pelbagai skandal kewangan yang berlaku ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
"Namun bayang cadangan tersebut tidak kelihatan di dalam manifesto mereka," katanya.
Sebelum ini, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa UUM, Md Shukri Shuib berkata, tindakan meneruskan perkhidmatan Kit Siang sebagai wakil rakyat pada PRU14 dianggap sebagai suatu pembaziran memandangkan beliau dilihat tidak lagi relevan dalam konteks politik dan ekonomi negara hari ini.
Menurutnya, Kit Siang memiliki rekod pencapaian yang buruk dan tidak memberangsangkan menyebabkan suatu pembaziran kepada negara jika elaun diberikan kepada wakil rakyat yang tidak bekerja.