Pemimpin PAS sertai GHB perlu tampil nyatakan pendirian - Mohd Amar

Bernama
Julai 26, 2015 10:46 MYT
MOHD AMAR: Jika berdiam diri akan menimbulkan fitnah dan kekeliruan kepada pengundi.- Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Pemimpin PAS yang dikaitkan dengan Gerakan Harapan Baharu (GHB) perlu tampil memberi penjelasan mengenai status mereka, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata tindakan itu wajar dilakukan bagi mengelak berlaku fitnah dan kekeliruan masyarakat terhadap mereka pada ketika ini.
"Jika berdiam diri akan menimbulkan fitnah dan kekeliruan kepada pengundi," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, bekas pemimpin kanan PAS Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata GHB diuar-uar akan menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang dan akan ditubuhkan pada 14 Sept depan.
Sementara itu, Mohd Amar berkata mana-mana wakil rakyat PAS yang bertindak menyertai GHB perlu mempunyai sikap bertanggungjawab meskipun mereka tidak perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.
"Dari segi undang-undang memang dia (wakil rakyat PAS) tidak perlu letak jawatan (sebagai wakil rakyat) tetapi dari segi moralnya dia perlu bertanggungjawab," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata lafaz bai'ah yang dilakukan oleh Anggota Parlimen dan ADUN PAS di negeri ini sepatutnya tidak perlu dipertikaikan memandangkan ia dibuat secara sukarela.
"Lafaz bai'ah dibuat semasa zaman tok guru menjadi menteri besar (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) lagi dan perjuangan Islam ini ialah perjuangan yang besar dan kita sepatutnya sayang kepada perjuangan ini.
Di Shah Alam, Dewan Ulama PAS Selangor pada Sabtu menegaskan wakil rakyat PAS yang mahu menyertai GHB, wajib mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS negeri Selangor Kamalulhysham Mohd Suhut berkata tindakan itu adalah demi maruah mereka dan perlu bertanding semula atas kekuatan sendiri.
"Semua wakil rakyat yang telah diamanahkan mewakili parti melalui kerusi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat yang menyertai GHB wajib meletakkan jawatan.
"Demi menjaga maruah diri dan agar tidak terus hidup memakan harta syubhat, mereka yang terlibat perlu meletakkan jawatan dan bertanding semula dengan kekuatan sendiri," katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook Dewan Ulama PAS Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Tanjung Sepat daripada PAS, Mohd Haslin Hassan menafikan dakwaan yang mengatakan beliau menyertai GHB.
"Saya ingin tegaskan, selagi mana PAS kekal dengan prinsip perjuangan yang termaktub dalam perlembagaannya dan dipimpin oleh kepimpinan ulama, insya-Allah saya akan kekal dalam perjuangan tarbiyyah, dakwah dan siasah PAS ini," katanya menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook PAS Selangor.
#Gerakan Harapan Baru #GHB #Mohd Amar Nik Abdullah #PAS
;