Pemimpin Pas jumpa Tun M, tandatangan Proklamasi Orang Melayu

Sinar Harian
Mei 3, 2023 14:13 MYT
Menurut Abu Bakar, beberapa pemimpin parti dan juga Abdul Hadi mengadakan pertemuan dan telah pun menandatangani proklamasi berkenaan. - Foto FB
SHAH ALAM: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu telah menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perkara tersebut didedahkan pembantu bekas Ahli Parlimen Langkawi iaitu Abu Bakar Yahya melalui hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Menurut Abu Bakar, beberapa pemimpin parti dan juga Abdul Hadi mengadakan pertemuan dan telah pun menandatangani proklamasi berkenaan.
"Beberapa pimpinan tertinggi Pas yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya pada hantaran tersebut.
Turut kelihatan bagi menyatakan sokongan adalah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selain Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai oleh YB Tuan guru Hj Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu dihadapan YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Posted by Abu Bakar Yahya Aby on
Sementara itu, Ahli Parlimen Marang melalui perkongsian video di Facebook rasmi Proklamasi Orang Melayu menyifatkan sokongan yang diberikan terhadap proklamasi berkenaan adalah sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.
“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia. Tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.
“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baharu ada kekuatan, kalau tidak, tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” kata Abdul Hadi.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa dakwaan proklamasi tersebut bersifat perkauman adalah tidak benar.
"Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun tak pingirkan kaum lain.
"Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong," katanya.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#Abdul Hadi Awang #Mahathir Mohamad #Proklamasi Orang Melayu #Takiyuddin Hassan
;