Pemimpin Pas bukan malaikat, terbuka terima teguran perwakilan - Ahmad Fadhli

Sinar Harian
September 14, 2024 19:00 MYT
Ahmad Fadhli ketika sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-70 pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
TEMERLOH: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengakui kepimpinan parti itu tidak sempurna dan sentiasa terbuka menerima teguran daripada ahli serta perwakilan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, sebagai pembangkang, mereka bukan hanya membentangkan masalah tetapi penyelesaian termasuk teguran kepada pemimpin dan kerajaan.
"Bagi menunjukkan Pas sebuah parti yang demokratik dan terbuka, perbahasan perwakilan turut terbuka kepada media untuk diambil kira.
"Kalau ada teguran kepada parti, itu membuktikan Pas bukan parti jenis sikit-sikit nak pecat ahli atau gantung seperti sesetengah parti lain.
"Kita bukanlah sempurna, Pas bukan parti 'perfect' yang dianggotai manusia dan bukan malaikat. Sudah tentu ada kesalahan dan kesilapan," katanya pada sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-70 di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, sesi perbahasan ucapan dasar Presiden oleh wakil Perlis, Mohd Saifizi Saidon mendapat perhatian perwakilan ekoran menegur kepimpinan Pusat yang seakan 'berdiam diri' berkaitan isu integriti melibatkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan anaknya.
Ahmad Fadhli menyangkal dakwaan berkenaan dan menjelaskan, kepimpinan tertinggi telah mengadakan perbincangan namun tidak diketahui Pas Perlis.
"Sudah tentu perbincangan peringkat pusat tidak diketahui Pas negeri. Mesyuarat ada pelbagai peringkat (melibatkan) negeri dan Pusat.
“Saya ambil maklum, tetapi apa yang dikatakan (perwakilan Perlis) kurang tepat kerana Pas Pusat sentiasa membuat perbincangan pelbagai isu sehingga isu peringkat negeri.
"Cuma kerana ia berlaku di peringkat Pusat, hanya keputusan sahaja sampai di peringkat negeri dan bukan isi-isi kandungan perbincangan," ujarnya. -- Sinar Harian
#Muktamar Pas #teguran perwakilan #bukan Malaikat #Ahmad Fadhli Shaari #MB Perlis
;