Pemimpin parti politik akan diberi taklimat mengenai Akta Sumbangan Politik - Paul Low

Bernama
November 29, 2016 14:28 MYT
Low akan bertemu pemimpin Barisan Nasional dan kemudian pemimpin parti politik lain bagi tujuan taklimat itu. - Gambar fail
Pemimpin politik akan diberi taklimat mengenai cadangan pembentukan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik sebelum ia dibawa ke Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata beliau akan bertemu pemimpin Barisan Nasional dan kemudian pemimpin parti politik lain bagi tujuan taklimat itu.
Sebelum ini Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor sebagai berkata cadangan akta itu perlu dibahas dan diluluskan semasa sesi persidangan Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.
Sementara itu Low berkata pembinaan dan pembangunan projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan dibuka kepada tender antarabangsa, walapun terdapat laporan sebelum ini China diberi keutamaan kepada projek itu.
Projek sejauh 350 kilometer itu dijadual mulai beroperasi pada 2026 dengan mempunyai lapan stesen perhentian iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.
Low menghadiri forum keusahawanan yang disertai lebih 100 masyarakat peniaga anjuran Full Gospel Business Men's Fellowship Malaysia dan Asian Strategy and Leadership Institute di sini. - BERNAMA
#akta sumbangan dan perbelanjaan politik #Dewan Rakyat #Paul Low #Tuan Ibrahim Tuan Man
;