Pemimpin Pakatan Harapan, janganlah 'berlakon suci' - Ketua Pemuda Amanah

Astro Awani
Mei 13, 2016 23:35 MYT
Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan berpendirian bahawa parti itu perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun ini.
Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan berpendirian bahawa parti itu perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun ini.
Menurut beliau, pendirian itu bersandarkan kepada kedudukan P.093 dan P.067 yang merupakan kawasan strategik bagi Amanah sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan.
"Komposisi campuran penduduk dengan majoriti Melayu Islam sememangnya menjadi gelanggang ideal buat Amanah meluaskan pengaruh Pakatan Harapan di kedua-dua Parlimen tersebut," kata Sany dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menggesa pemimpin-pemimpin dalam pembangkang supaya jujur dan tidak mengulangi kesilapan bersaing sesama sendiri seperti yang berlaku di Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 baru-baru ini.
"Rakyat tidak bodoh. Sukar untuk mereka menerima pemimpin yang telah mengecewakan dengan tindakan melulu membenarkan pertandingan sesama Pakatan Harapan dalam PRN Sarawak yang lalu kini 'berlakon suci' pula kononnya mahu mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan PAS / Blok Ketiga.
"Apakah mesej politik yang mahu dihantar pemimpin ini sebenarnya? Terus mahu mengucar-kacirkan Pakatan Harapan atau apa?" soalnya.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mengajak PAS kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Katanya, semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk di Pilihan Raya Sarawak ke-11.
Semalam, Azmin turut yakin satu jalan tengah antara sekutu Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat akan diperoleh bagi berdepan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Menurutnya, tidak akan wujud masalah pertindihan kerusi dalam PRK itu sekiranya pembangkang mengetepikan kepentingan individu dan parti masing-masing.
#berlakon suci #Ketua Pemuda Amanah #Kuala Kangsar #Pakatan Harapan #sany hamzan #Sungai Besar
;