Pemimpin muda PH perlu tampil cari jalan penyelesaian

Astro Awani
Disember 10, 2020 13:19 MYT
Jo-Anna berkata, jika pemimpin senior gagal mencari jalan penyelesaian, golongan muda pasti mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Semua pemimpin muda daripada blok pembangkang perlu tampil mencari jalan penyelesaian kepada masalah percakaran sesama sendiri yang berlaku dalam kalangan pembangkang.
Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, senario politik kini sudah berubah menjadikan orang muda bukan lagi hanya sekadar menunggu arahan tetapi perlu tampil memberi cadangan, pendapat dan melaksanakannya.
Tegasnya, jika pemimpin senior gagal mencari jalan penyelesaian, golongan muda pasti mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah berbangkit.
"Sejak sekian lama pandangan sayap muda telah dipinggirkan dan hanya melakukan seperti apa yang diarah bukannya terlibat secara aktif dalam ideologi parti dengan memberikan cadangan, idea serta melaksanakannya.
"Biarlah semua sayap-sayap muda parti duduk bersama membincangkan situasi ketidaktentuan politik semasa dan mengukuhkan kembali jambatan yang menjadi pemisah kepada semua," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Sebelum ini, dua pemimpin pemuda iaitu Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Shazni Munir Mohd Ithnin dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Muhammad Shakir Ameer menggesa semua parti pembangkang kembali ke meja rundingan untuk membina momentum baharu bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Kesatuan antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti pembangkang lain seperti Warisan, Parti Pejuang Tanah Airku (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kini kelihatan rapuh menyebabkan mereka gagal mencapai kata putus di Dewan Rakyat.
Jo-Anna berkata, golongan muda lebih mudah menerima perubahan demi kebaikan semua pihak berbanding ahli politik senior yang lebih minat mempertahankan kedudukan masing-masing.
"Ini adalah masa terbaik untuk gerakan muda setiap parti melakukan apa yang mereka sepatutnya iaitu mewakili generasi muda dan memastikan ahli parti masing-masing selari dengan trend politik semasa.
"Seperti yang selalu kita dengar, golongan muda adalah masa depan kita. Biarlah generasi muda melaksanakan tugas membawa perpaduan dan ketenangan dalam situasi politik yang kelam-kabut," tambahnya.
#Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #Dewan Rakyat #pilihan raya umum #perpaduan #rakyat #Malaysia #pembangkang #Amanah #politik #pemimpin muda #Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah Warisan Jo-Anna S
;