Pemimpin muda bersifat 'fluid', mudah duduk berunding - AMK
Faris Danial Razi
Disember 29, 2020 10:41 MYT
Disember 29, 2020 10:41 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam membentuk blok pembangkang yang lebih padu dan jitu, anak muda daripada setiap parti politik perlu duduk semeja bagi mengadakan rundingan.
Ini kerana, jelas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Muhamad Kamil Abdul Munim, anak muda bersikap lebih fleksibel dan mudah untuk dilentur berbanding pemimpin senior yang dilihat lebih sukar untuk berunding.
"Secara asasnya, kita semua harus bersetuju, kalau benar kita nak bentuk satu kekuatan yang padu dan jitu, keseluruhan blok pembangkang itu harus bersatu.
"Tetapi kalau kita sendiri bercakap atas sikap hipokrisi, ataupun lakonan politik semata-mata, dan ini merupakan satu fakta sejarah, ia berlaku dan benar benar berlaku.
“Jadi, damage has been done. Kita hendak mengubah balik ataupun nak memulihkan semula kerosakan ini mungkin mengambil sedikit masa tapi ia tidak mustahil,” jelas beliau.
Ditanya adakah mungkin sukar untuk PKR kembali bekerjasama dengan parti seperti Pejuang, contohnya, beliau berkata:
“Kita di peringkat pemuda sebenarnya lebih fleksibel. Kita lebih fluid. Kita lebih mudah untuk mengadaptasi dengan keadaan semasa.
“Ini kerana, apa yang ada dalam landskap politik negara pada ketika ini, kalau kita lihat, 20 tahun kebelakangan ini, apa yang ada di Parlimen, itulah watak-watak yang mewarnai landskap politik negara.
“Tetapi, bukanlah kesemua watak itu tidak berguna. Ada juga yang berguna. Tetapi bagaimana orang muda sendiri dapat mengimbangi watak-watak ini?” tambahnya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemu bual menerusi program Dialog Pembangkang di Astro AWANI yang berjudul 'Grand Coalition: Percaturan baharu pembangkang dan persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15' malam tadi.
#pembangkang
#pilihan raya umum
#PKR
#pilihan raya
#Parlimen
#Exco
#politik
#Kamil Munim
#anak muda
#pemuda
#Keadilan