Pemimpin MIC perlu ikut formula dipersetujui - Muhyiddin
Bernama
Februari 15, 2015 07:50 MYT
Februari 15, 2015 07:50 MYT
Kepimpinan MIC perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), untuk menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata usaha menyelesaikan masalah kepimpinan MIC akan bertambah sukar sekiranya pemimpin parti itu engkar mengikuti formula yang telah dipersetujui bersama Pengerusi BN sebelum ini.
"Saya fikir adalah lebih baik ikut formula yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri. Jikalau tidak mahukan pandangan kita, terserah kepada MIC untuk selesaikan sendiri," katanya.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan bersama ketua-ketua jabatan daerah Langkawi dan pemimpin UMNO Bahagian Langkawi di sini, semalam.
Beliau berkata Presiden Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam perlu bersatu dan menyerahkan kepada Pengerusi BN dan beliau untuk menyelesaikan krisis dalaman parti kaum India itu.
"Ia akan menjadi sukar apabila anda telah bersetuju dengan Perdana Menteri dan kemudian anda berkata tidak setuju. Bukan sahaja tidak bersetuju tetapi mula mempersoalkan banyak perkara. Ini tidak akan menyelesaikan masalah," katanya.
Beliau berkata arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk parti itu mengadakan semula pemilihan semua jawatan adalah selaras dengan perlembagaan parti MIC, sambil menafikan dakwaan kononnya RoS menyebelahi satu-satu pihak.
Muhyiddin mahu pemimpin-pemimpin MIC melihat masalah dalaman yang mereka hadapi itu secara holistik dan menyelesaikannya tanpa mengambil kira kepentingan peribadi.
"Kita tidak mahu masyarakat India kecewa dengan apa yang berlaku dalam MIC, dan lari daripada BN. MIC perlu terus kekal kuat untuk memperjuangkan kepentingan semua masyarakat India negara ini," katanya.
Menurutnya, pada ketika ini, krisis dalaman MIC itu tidak mungkin dapat diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.
Muhyiddin berkata beliau tidak dapat membayangkan perkara terburuk yang mungkin berlaku terhadap MIC sehingga menyebabkan parti komponen BN itu dibubarkan.
"Jika serah pada MIC sedia ada, saya minta maaf...terus terang saya katakan parti itu mungkin berada dalam keadaan tak menentu. Saya tidak mahu bayangkan yang terburuk. Saya tidak mahu melihat MIC sampai ke tahap parti itu dibubarkan," katanya.
Katanya, beliau dan Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam permasalahan parti itu serta tidak menyokong mana-mana pihak dalam krisis tersebut, sama ada Palanivel mahupun Dr Subramaniam.