Pemimpin Melayu dalam PH 'pak turut' DAP - Ismail Sabri
Bernama
Mac 18, 2018 16:30 MYT
Mac 18, 2018 16:30 MYT
Pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai 'pak turut' apabila tidak membantah konsep 'Malaysian Malaysia' yang menjadi asas perjuangan DAP sejak kira-kira lima dekad lalu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan itu juga jelas membuktikan DAP adalah parti dominan dalam pakatan pembangkang sehinggakan rakan sekutunya tidak berani membantah.
Sedangkan, menurutnya, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera.
"Malaysian Malaysia menjadi asas perjuangan DAP sejak penubuhannya, yang bermaksud semua rakyat akan mendapat hak yang sama (tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia) dan DAP memang diketahui konsisten dalam perjuangan ini.
"Jadi yang perlu mengubah asas perjuangan itu adalah mereka yang datang menyertai (DAP). Walaupun kata perjuangkan Melayu, tapi bila masuk PH, mereka yang terpaksa ubah pendirian dan ikut dasar DAP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Kursus Haji 2018 Parlimen Bera di sini, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang pada sidang Dewan Rakyat pada 15 Mac lalu yang dilaporkan bertegas mahu menyaksikan konsep 'Malaysian Malaysia' dilaksanakan di negara ini.
Antara perkara yang digariskan menerusi konsep itu adalah memastikan semua rakyat di negara ini menerima hak yang sama rata sekali gus menafikan hak istimewa Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ismail Sabri juga mengingatkan rakyat untuk tidak terperdaya dengan helah bahawa DAP bukan parti dominan dalam PH atas alasan PPBM akan bertanding di lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-14.
"Soal dominan bukan ditentukan oleh jumlah kerusi yang ditandingi, tapi siapa yang menang paling banyak kerusi.
"PPBM katakan mereka akan bertanding di lebih banyak kerusi berbanding DAP, tapi DAP yakin mereka akan menang di banyak tempat mereka bertanding walaupun jumlah kerusi mereka sedikit daripada PPBM. Sebab itu saya melihat DAP adalah dominan sehingga mereka tidak mahu berganjak daripada perjuangan mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Ahli Majlis Tertinggi UMNO
#DAP
#ismail sabri yaakob
#Mahathir Mohamad
#Malaysian Malaysia
#Melayu
#Pakatan Harapan
#pemimpin
#Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#PH