Pemimpin mainkan isu perkauman, agama wajar diheret ke mahkamah

Ruzaini Zulkepli
Februari 22, 2018 19:45 MYT
Pembangkang tidak sepatutnya meraih publisiti murahan untuk mendapat sokongan rakyat kerana setiap kaum di Sabah memainkan peranan penting
Pembangkang di negeri ini yang memainkan isu agama dan perkauman bagi menarik sokongan rakyat wajar dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad menyifatkan tindakan pembangkang yang memainkan isu berkenaan hanya untuk menarik sokongan selain masih muda dalam politik.
"Pembangkang tidak sepatutnya meraih publisiti murahan untuk mendapat sokongan rakyat kerana setiap kaum di Sabah memainkan peranan penting ke arah membangunkan negeri ini.
"Pihak yang memainkan isu ini dalam politik wajar dikenakan tindakan undang-undang agar perkara ini tidak berulang dan bagi kita di Sabah peranan serta sumbangan setiap kaum tidak dapat dinafikan, sebab itu isu kaum tidak boleh disentuh semata-mata untuk meraih publisiti murahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Memperkasa Wanita Umno Sipitang di Dewan Serbaguna Sipitang, hari ini.
Baru-baru ini seorang pemimpin kanan pembangkang menggunakan isu sensitif untuk meraih sokongan ketika berucap dalam satu program di Matunggong.
Sapawi yang juga Pengarah Yayasan Sabah berkata, tindakan pemimpin kanan pembangkang itu juga memperlihatkan parti tersebut tidak mempunyai modal politik lain dan tiada dasar perjuangan yang mampu menjamin kestabilan dan keamanan.
"Sebagai parti yang baru menampilkan diri dan bertanding dengan sebuah kerajaan yang kukuh seperti Barisan Nasional, mereka seharusnya meletakkan reputasi yang terbaik dari segi manifesto, asas, dasar dan bukan sekadar retorik bahasa," katanya.
#Ahli Parlimen Sipitang #isu agama #isu perkauman #isu sensitif #Ketua Penerangan UMNO Sabah #MalaysiaMemilih #modal politik #pembangkang #Pengarah Yayasan Sabah #Sapawi Ahmad
;