Pemimpin komponen GRS jangan terhasut, rapatkan saf

Ruzaini Zulkepli
Mac 17, 2021 18:05 MYT
Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan tidak terhasut dengan cubaan pihak tertentu yang mengganggu-gugat keutuhan gabungan tersebut di Sabah.
KOTA KINABALU: Rakan-rakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan tidak terhasut dengan cubaan pihak tertentu yang mengganggu-gugat keutuhan gabungan tersebut di Sabah.
Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ceasar Mandela Malakun berkata, keutuhan yang sedia terjalin dalam kalangan pemimpin perlu diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan rakyat dapat dilaksanakan.
"Saya meminta supaya rakan-rakan komponen jangan ditipu dengan adu domba daripada pihak yang sangat terdesak untuk menggangu kesejahteraan negara dan Sabah terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini.
"Ini terutamanya lahir daripada ahli-ahli politik yang masih berangan-angan mahu menjadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, bagi mengulas isu pendedahan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa wujud satu perbincangan awal di antara PKR dan UMNO dalam sidang media di ibu negara, semalam.
Sementara itu, Mandela berkata, kerajaan GRS komited dalam meneruskan khidmat kepada rakyat negeri ini selepas mendapat mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
#Gabungan Rakyat Sabah #GRS #Armada Bersatu #Ceasar Mandela Malakun #Sabah #pembangunan Sabah
;