Pemimpin kerajaan negeri terlibat dijangka bincang tarikh PRN minggu depan - KM P. Pinang
Bernama
Februari 17, 2023 18:33 MYT
Februari 17, 2023 18:33 MYT
GEORGE TOWN: Para pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu dijangka mengadakan pertemuan minggu depan untuk berbincang mengenai tarikh sesuai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat bersama itu digerakkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
"Perbincangan mungkin berkisar kepada kata sepakat mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, tempoh untuk mengadakan PRN kini semakin hampir.
"Waktunya (pembubaran) semakin hampir, walaupun tanpa perjumpaan itu, PRN negeri berkenaan akan tetap diadakan pada bulan Jun atau Julai nanti," tambahnya. - BERNAMA