Pemimpin jangan buat keputusan tanpa dengar suara akar umbi - Tengku Putra
Astro Awani
Ogos 31, 2020 09:30 MYT
Ogos 31, 2020 09:30 MYT
Mandat yang diberi kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO bukanlah kuasa mutlak di mana mereka boleh membuat keputusan besar tanpa mendengar suara akar umbi.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan mereka perlu sentiasa mengambil kira sentimen pemimpin bawahan dan juga ahli yang telah menebal muka serta bertungkus lumus menangkis pukulan lawan selama 22 bulan sebagai pembangkang.
Jelasnya, pemimpin bawahan akan menjaga mulut mereka jika pemimpin atasan tidak 'berpusing-pusing' di antara kata-kata dengan perbuatan mereka.
"Kita sekarang menanggung dua jenis pemimpin parti yang berjawatan tinggi.
"Pertama, pemimpin-pemimpin yang sedang selesa memegang dan mempertahankan jawatan Kabinet empuk mereka.
"Kedua, pemimpin berjawatan tinggi yang sedang berdepan dengan berbagai cubaan di mahkamah. Di dalam senario ini, tidak mustahil jika keutamaan peribadi mengatasi keutamaan parti," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, jelas Tengku Putra, semua pihak perlu akur dan menghormati kedudukan serta kata putus dibuat pemimpin tertinggi parti.
Tetapi pada waktu sama, tegasnya, pemimpin bawahan juga wajib bertindak sebagai penyemak dan pengimbang kepada keputusan berkenaan.
Tambahnya, langkah itu dapat mengelakkan kerugian kepada parti yang kini sedang mendapat kepercayaan tinggi oleh rakyat.
Tengku Putra turut menjelaskan kebelakangan ini terdapat kenyataan-kenyataan yang bercanggah di antara satu sama lain di peringkat pucuk pimpinan yang mengelirukan akar umbi.
"Umpamanya, Setiausaha Agung BN membuat kenyataan berbeza apabila Presiden dan Timbalan Presiden UMNO membuat kenyataan yang selari.
"Mungkin Setiausaha Agung itu terlupa bahawa beliau sendiri dilantik oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan bukan Perikatan Nasional (PN)," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin atasan untuk sentiasa membuat keputusan yang menguntungkan UMNO serta BN jika mahu akar umbi terus memberi sokongan kepada mereka.
"Bukan keputusan yang merugikan parti semata-mata untuk menjaga kedudukan mahupun melepaskan 'tengkuk' mereka.
"Kotakan kata-kata jika kepimpinan tertinggi sudah menyatakan mahu merujuk suara akar umbi sebelum membuat sesuatu keputusan besar.
"Jangan pula kenyataan itu dibuat hanya untuk menyedapkan telinga akar umbi tetapi sebaliknya keputusan eksekutif dibuat bercanggah dengan kehendak majoriti ahli dan keuntungan parti," ujarnya.
Jika ini berterusan kata Tengku Putra, tidak mustahil UMNO dan BN akan menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tetapi terpaksa berperdana-menterikan pemimpin dari parti lain yang lebih kecil semata-mata untuk kekal dalam kerajaan seperti keadaan pada hari ini.
#ADUN
#Barisan Nasional
#kerajaan
#kuasa mutlak
#mahkamah
#PRU
#Setiausaha Agung UMNO
#Tengku Putra
#UMNO