Pemimpin generasi muda Bersatu jangan 'gelojoh' - Mohd Redzuan

Bernama
Mei 29, 2019 06:00 MYT
Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (tengah) beramah mesra bersama orang ramai ketika hadir pada majlis Iftar dan Penyampaian Bantuan Asnaf di Masjid Ar Rabbani dekat Tangga Batu pada Rabu. - Foto BERNAMA
Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya generasi muda dinasihatkan agar tidak 'gelojoh' dalam menonjolkan diri lebih awal sebagai pemimpin kata Anggota Majlis Pemimpin Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata sebaliknya golongan muda dalam parti itu perlu mempersiapkan diri mereka dengan ilmu untuk menjadi seorang pemimpin pada masa depan.
"Golongan seperti ini mungkin gelojoh hendak ke depan dan biasalah, kadang-kadang di dalam parti ada berbeza pendapat. Maksudnya kalau ada yang tidak tahu, saya nasihatkan supaya fahami budaya dan perjuangan kita, usahlah kita berpecah.
"Kalau ada antara mereka mahu menaikkan diri sebagai pemimpin, dia kena tunjukkan dirinya boleh memimpin. Macam saya, sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, kalau dilihat tidak boleh jadi pemimpin, ia boleh diputuskan di peringkat Pusat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar dan Penyampaian Bantuan Asnaf di Masjid Ar Rabbani, Tangga Batu, di sini malam Rabu.
Menurut beliau meskipun pada asasnya kepemimpinan Bersatu di Melaka cukup kuat namun parti itu tidak dapat lari daripada percanggahan pendapat sesama anggotanya.
"Saya sebagai salah seorang pengasas parti tidak mahu budaya itu wujud, termasuk fitnah memfitnah yang bukan budaya Bersatu. Marilah bersama 'Pak Wan', kita muhasabah diri, bermuzakarah apa sahaja supaya kita dapat bergerak dalam satu pasukan 'solid' dan padu," katanya.
Sementara itu, Mohd Redzuan berkata Bersatu akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara untuk menerangkan kepada anggota sebagai persediaan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas Bersatu pada 20 Julai ini.
Beliau berkata, Bersatu juga dijangka akan meminda beberapa klausa di dalam perlembangaan parti untuk memudahkan anggota parti memahami struktur parti berkenaan.
"Pindaan beberapa klausa ini dijangka akan dibuat pada Mesyuarat Agung Khas Bersatu yang masih belum diputuskan lokasinya. Selepas itu, baharulah kita akan memutuskan sama ada akan membuat pemilihan atau tidak," katanya.
-- BERNAMA
#generasi muda #golongan muda #kepimpinan Bersatu #Majlis Pemimpin Tertinggi Bersatu #Menteri Pembangunan Usahawan #Mohd Redzuan Md Yusof #Parti Pribumi Bersatu Malaysia
;