Pemimpin DAP umum bersara selepas 25 tahun jadi wakil rakyat

Astro Awani
Disember 3, 2020 17:09 MYT
Datuk Teng Chang Khim mengumumkan persaraannya itu selepas 25 tahun menjadi wakil rakyat. - Gambar Facebook Teng Chang Kim
KUALA LUMPUR: Pemimpin dan wakil rakyat DAP, Datuk Teng Chang Khim mengumumkan akan bersara dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Chang Khim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baru Klang dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor mengumumkan persaraannya itu selepas 25 tahun menjadi wakil rakyat.
Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Chang Kim berkata, beliau akan menjalankan tugasnya tetapi tidak akan bertanding untuk kerusi Bandar Baru Klang.
“Saya umumkan tidak akan mengambil bahagian dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP) tahun ini dan pemilihan jawatankuasa negeri DAP Selangor yang akan datang.
“Saya juga tidak akan bertanding semula selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor. Saya sudah menyumbang separuh daripada sepanjang hayat saya dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Chang Khim, 57, dipilih sebagai Adun Selangor pada 1995 dan merupakan satu-satunya wakil DAP di Dun negeri itu selepas pilihan raya umum 1999.
Teng memaklumkan, beliau akan terus membantu DAP walaupun bersara daripada barisan hadapan dalam politik.
“Untuk merealisasikan cita-cita murni untuk membangun masyarakat yang adil dan saksama seperti yang dicita-citakan oleh pengasas parti, kita tidak hanya perlu tetap teguh dalam menegakkan pendirian serta prinsip parti tetapi juga memiliki kemampuan dan pengetahuan dalam pentadbiran serta kebajikan untuk terus gigih, hebat, kreatif, pragmatik, tangkas dan tegas.
“Saya sudah kumpul sejumlah besar pengalaman setelah banyak kejayaan dan kegagalan serta saya akan gembira untuk berkongsi, jika dan bila diperlukan untuk merealisasikan hasrat mewujudkan Malaysia baharu,” katanya.
BACA: Pemimpin politik sedia ada perlu beri peluang kepada orang muda - Kadir Jasin
Jelas beliau, adalah satu penghargaan buat DAP apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mengambil alih Selangor pada 2008 dan membantu membina ekonomi negeri ke tahap sekarang.
“Saya tanpa henti memberikan yang terbaik untuk membantu membina negara terutama Selangor dan saya akan menyerahkan kepada rakyat serta sejarah untuk menilai saya.
“Saya tak jangka bernasib baik kerana dilantik semula sebagai anggota Exco Selangor pada 2018. Saya menganggapnya ia ketentuan Tuhan setelah mencurah-curah air mata dan keringat selama bertahun-tahun untuk membina negeri ini,” katanya.
Adik Chang Kim, Teng Chang Yeow, 47, merupakan Setiausaha Agung Gerakan dan juga Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang.
Sumber Facebook tengchangkhimpage
#Teng Chan Khim #DAP #bersara #politik #wakil rakyat #teng chang yeow
;