Pemimpin DAP jangan bermain api perkauman - Azwan Bro

Astro Awani
Mei 2, 2018 17:16 MYT
Azwan Bro mendakwa pemimpin DAP menunjukkan tingkah laku biadap ini dengan menggalakkan keganasan dan membakar api perkauman. - Gambar fail
Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun mendesak pemimpin DAP agar tidak merosakkan hubungan kaum dan keharmonian masyarakat semata-mata mahu berkuasa.
Khairul Azwan yang dikenali dengan panggilan Azwan Bro mendakwa pemimpin DAP menunjukkan tingkah laku biadap dengan menggalakkan keganasan dan membakar api perkauman.
"Pemuda UMNO punyai bukti terhadap apa yang telah diperkatakan oleh pemimpin DAP. Mereka telah memperkecilkan orang Melayu dan mengakui memperkudakan beberapa pemimpin Melayu demi politik sempit mereka.
"Pemimpin DAP terlampau seperti Nga Kor Ming dan Superman Hew telah dilapor beberapa kali menggunakan kata-kata kesat dan bersifat menghasut dalam usaha mereka untuk menarik undi orang Cina.
"Pemuda UMNO memandang serius dan menolak politik kelas rendah seperti ini sepanjang tempoh berkempen PRU14 berlangsung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Azwan mengambil contoh kejadian di Yong Peng baru-baru ini dimana seorang warga emas yang merupakan ahli MCA telah ditolak oleh ahli DAP kerana cuba menurunkan bendera PKR.
Beliau mendakwa warga emas itu cuba membuang bendera PKR yang dipasang di pentas yang didirikan oleh jentera Barisan Nasional (BN).
"Insiden ini berlaku ketika majlis BN berlangsung dan ahli MCA tersebut sekadar menurunkan bendera PKR di atas pentas milik BN.
"Pentas tersebut dipasang jentera BN dan telah disabotaj oleh ahli DAP dengan mengibarkan bendera parti PKR," katanya lagi.
#Azwan Bro #Barisan Nasional #DAP #hasut #Khairul Azwan Harun #Malaysia #MalaysiaMemilih #MCA #Pakatan Harapan #perkauman #PRU14 #UMNO
;