Pemimpin dan anggota UMNO perlu guna saluran parti untuk bersuara - Zainal Abidin
Bernama
Oktober 26, 2015 07:30 MYT
Oktober 26, 2015 07:30 MYT
UMNO Pulau Pinang berpendirian bahawa setiap pemimpin dan anggota parti mempunyai saluran yang betul untuk bersuara dan memberi pandangan terhadap sesuatu perkara berkaitan parti dan kerajaan.
Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata dakwaan yang mengatakan pemimpin UMNO penakut dan tidak berani bersuara adalah tidak benar kerana mereka bersuara menerusi saluran parti.
"UMNO Pulau Pinang merasakan kami berhemah, kami menggunakan saluran parti.
Ada perkara tidak perlu kami ceritakan secara hebahan awam, ada perkara kami buat secara dalaman. Kami (boleh) bagi pandangan, macam saya pun kalau ada apa-apa yang ingin saya sampaikan, saya boleh terus SMS kepada presiden parti.
"Itu adalah suara saya yang mewakili UMNO negeri. Suara sekarang tak semestinya menjerit, panggil sidang media. Suara kami boleh sampai melalui Whatsapp, Telegram, SMS," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pemimpin dalam parti dan kerajaan tidak berani bersuara untuk menyatakan kebenaran kerana mahu melindungi kepentingan politik dan kedudukan masing-masing.
Muhyiddin pada program 'Bicara Minda: Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian pada Sabtu lepas, menggesa pemimpin dalam UMNO dan kerajaan supaya lebih berani mengambil tindakan serta melakukan perubahan jika melihat perkara mungkar.
Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang menghormati pandangan Muhyiddin itu, namun perkara itu perlu dilakukan secara berhemah dan mengikut saluran yang betul kerana ia penting untuk memupuk disiplin serta kewibawaan sesebuah parti.
"Bayangkan kalau semua orang bersuara, mengkritik presiden di luar parti, ia akan menjadi huru-hara. Kita ada saluran, boleh dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi," katanya.
Terdahulu, Zainal Abidin mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, melancarkan penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (CDERT) peringkat negeri, di sini pada Isnin.
Sehingga kini, sebanyak 494 komuniti ditubuhkan sebagai pasukan CDERT di Jabatan Pertahanan Awam Pulau Pinang.
Pasukan itu ditubuhkan dengan matlamat melahirkan komuniti berkeupayaan mengambil tindakan awal bagi mencegah kemalangan dan bencana di kawasan kejiranan melalui ilmu Pertahanan Awam, sementara menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat.