Pemimpin bukan Islam masuk masjid berpolitik bukan isu baru di Selangor

Bernama
Mei 31, 2017 20:41 MYT
Noh berkata teguran Sultan Selangor itu amat tepat dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak apatah lagi ketika ini umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan. - Gambar fail
Insiden berulang pemimpin politik bukan Islam memasuki masjid untuk tujuan politik di Selangor menunjukkan sikap individu yang tidak menghormati sensitiviti orang Islam, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.
Merujuk kes Anggota Parlimen Subang R. Sivarasa yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di dalam masjid, Noh berkata ia bukan isu baharu kerana perbuatan sedemikian pernah dilakukan oleh seorang Anggota Parlimen wanita daripada DAP sebelum ini.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata perbuatan itu bertentangan dengan tegahan Sultan Selangor yang tidak membenarkan rumah ibadah dijadikan medan untuk berpolitik.
"Walaupun tindakan seperti itu pernah dilakukan dan mendapat bantahan ramai tetapi perkara tersebut tetap berulang kerana sikap individu itu sendiri yang mungkin tidak menghormati rumah ibadah dan sensitiviti orang Islam," katanya ketika ditemui media selepas mengagihkan bubur lambuk kepada warga kementeriannya di sini hari ini.
Noh mengulas berkenaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilaporkan murka dan dukacita terhadap tindakan Sivarasa memberi ceramah berkaitan politik di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang Rabu lepas.
Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat daripada PKR itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin telah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil tindakan segera kerana baginda menyifatkan tindakan nazir masjid serta penganjur seolah-olah tidak menghormati titah baginda yang melarang ruang masjid digunakan untuk aktiviti politik.
Mengulas lanjut, Noh berkata teguran Sultan Selangor itu amat tepat dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak apatah lagi ketika ini umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.
-- BERNAMA
#ceramah politik #Haris Kasim #masjid #Masjid An Nur Kampung Melayu Subang #Noh Omar #R Sivarasa #Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #surau
;