'Pemimpin BN Selangor tak lari'
Sinar Harian
Mei 19, 2018 08:09 MYT
Mei 19, 2018 08:09 MYT
Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak menghilangkan diri dan masih menjalankan tugas-tugas terhadap rakyat walaupun kalah dalam PRU14 baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, selepas BN mengalami kekalahan, ada di antara pemimpin yang terkejut dengan hasil keputusan PRU14 tersebut namun kini keadaan telah kembali seperti biasa dan parti sedang giat mengkonsolidasikan kekuatan masing-masing.
“Saya tak nampak mereka (pemimpin BN) hilang. Mungkin semasa dihubungi oleh pihak media, ada di antara mereka yang masih terkejut.
“Namun kini kita sudah kembali seperti biasa dan masih bermesyuarat untuk mengkonsolidasikan kekuatan parti masing-masing selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Mat Nadzari berkata demikian susulan dakwaan sesetengah pihak sebelum ini yang mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin BN menghilangkan diri selepas mengalami kekalahan dalam PRU14 lalu.
Pada PRU14 kali ini juga, Mat Nadzari yang merupakan penyandang bagi kerusi Dun Batang Kali turut mengalami kekalahan setelah tewas kepada calon PKR, Harumaini Omar dengan undian majoriti sebanyak 8,315.
Mengulas lanjut mengenai kekalahan itu, Mat Nadzari berkata pihaknya yakin UMNO mampu bangkit semula bagi memperjuangkan nasib rakyat selepas kekalahan mengejut tersebut.
“Bagi saya, UMNO tak pernah kalah sebab kalau tengok dari parti, kita masih terbanyak dan merupakan majoriti. In sha ALLAH kita boleh bangkit semula,” katanya.
Sementara itu, bekas Adun Seri Serdang, Datuk Mohammad Satim Diman beranggapan UMNO akan mampu bangkit semula bagi memastikan Pakatan Harapan (Harapan) dapat menunaikan manifesto mereka kepada rakyat di negara ini.
Di samping itu, beliau tidak menolak kemungkinan kekalahan BN dalam PRU14 ini adalah disebabkan faktor bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa isu lain yang dibangkitkan sebelum ini.
“Tak mengapa, kita akan bangkit semula untuk pastikan mereka (Harapan) melaksanakan manifesto yang dijanjikan itu, Dan jika mereka gagal, jangan marah sekiranya rakyat membuat bantahan seperti himpunan Bersih dengan jumlah lebih besar selepas ini,” katanya.
Satim berkata, tindakan sebilangan pemimpin BN mendiamkan diri selepas PRU14 lalu adalah berkemungkinan bagi mencari jalan untuk bangkit semula daripada kekalahan mengejut tersebut.
“Pada saya, mungkin mereka menyepi sementara namun bukan bermakna mereka mengaku kalah. Mungkin mereka sedang mencari jalan untuk bangkit balik semula selepas ini,” katanya.
#Barisan Nasional
#BN
#hilang
#kekalahan
#kekuatan
#konsolidasi
#lari
#Manifesto
#Mat Nadzari Ahmad Dahlan
#Mohammad Satim Diman
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#pemimpin
#PRU14
#Selangor
#terkejut
#UMNO