Pemimpin BN Selangor ingatkan akar umbi untuk bersedia bertanding sendirian

Astro Awani
Ogos 20, 2020 17:36 MYT
"Jika ada mana-mana pihak yang mahu tinggalkan kita secara sukarela oleh apa sebab sekalipun, saya tidak rasa kita boleh memaksa mereka untuk setia bersama," kata Isham Jalil. - Gambar fail Astro AWANI
UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15( PRU15) secara bersendirian dengan lambang dan sepanduk parti itu seperti tahun-tahun sebelum ini, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.
Isham bagaimanapun mengakui, peluang untuk UMNO dan BN memperolehi kemenangan lebih tinggi jika parti itu menjalinkan kerjasama dengan pihak lain.
"Namun jika ada mana-mana pihak yang mahu tinggalkan kita secara sukarela oleh apa sebab sekalipun, saya tidak rasa kita boleh memaksa mereka untuk setia bersama kita atau menghalang mereka dari meninggalkan kita, jika itu pilihan mereka.
"Tiada paksaan dalam kerjasama politik sebagaimana juga tiada paksaan dalam Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu dibuat ketika Pas, sekutu UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), mengumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada Rabu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan partinya adalah antara parti penaja PN yang telah mengemukakan pendaftaran kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.
“PAS ada, Bersatu ada (sertai PN). BN kena tanya BN, saya tidak pasti. Jawatankuasa penaja boleh mana-mana pihak, lepas ditubuhkan (PN) ahli lain boleh masuk,” katanya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mengulangi ketegasan UMNO yang tidak akan menyertai PN.
#Barisan Nasional #bendera #Bersatu #bertanding #dacing #lambang #Muafakat Nasional #PAS #Perikatan Nasional #pilihan raya umum #UMNO
;