Pemimpin akan terus sesat jika sibuk rebut jawatan PM - MPN

Bernama
Ogos 14, 2021 22:44 MYT
Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, tindakan beberapa parti politik yang menolak tawaran rangka persefahaman rentas parti yang dicadangkan Muhyiddin tanpa perbincangan panjang, dilihat bagaikan sudah hilang arah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polimik dan perebutan jawatan perdana menteri yang berterusan dalam kalangan pemimpin parti politik, hanya membuatkan mereka terus 'sesat' dan terkeluar dari tanggungjawab sebenar mereka, untuk membantu rakyat.
Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, walaupun terdapat pihak dalam kerajaan dan pembangkang menolak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun sehingga kini mereka belum membuktikan terdapat inidividu lain mendapat sokongan majoriti, bagi jawatan itu.
Tegasnya tindakan beberapa parti politik yang menolak tawaran rangka persefahaman rentas parti yang dicadangkan Muhyiddin tanpa perbincangan panjang, dilihat bagaikan sudah hilang arah.
"Jawatan perdana menteri (keabsahan) bukan isu di sini, isunya adalah sama ada kita (kerajaan dan pembangkang) boleh bertindak bersama dan lakukan secara bersama demi kepentingan rakyat... mereka tidak nampak perkara ini.
"Ada yang lihat tawaran itu mengikut kepentingan berbeza-beza, jadi respons kepada tawaran itu dilihat belum jelas daripada mana-mana pihak, kecuali beberapa pemimpin pembangkang yang saya kira mereka melihat kepada impak jangka panjang beberapa tawaran itu.
"Pemikiran itu memperlihatkan bahawa, mereka memandang jauh sama ada perlu sokong atau membangkang semborono," katanya ketika menjadi tetamu jemputan secara maya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV hari ini.
Tetamu jemputan secara maya yang lain ialah Penganalisis Politik Prof Dr Sivamurugan Pandian, Pensyarah Kanan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub, dan Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Aira Azhari.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan cadangan kerjasama rentas parti merangkumi tujuh perkara yang akan dilaksanakan kerajaan, jika usul undi percaya terhadap beliau diluluskan di Dewan Rakya termasuk tawaran tempoh jawatan Perdana Menteri terhad kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
Tawaran lain, keseimbangan jumlah keanggotaan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, serta pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik, serta rang undang-undang termasuk belanjawan akan dirunding terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen sebelum dibentang kepada Dewan Rakyat.
Shamsul Amri berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) adalah medan sebenar untuk menguji keabsahan kerajaan dan jawatan perdana menteri.
Sementara itu, Aira Azhari berkata jika terdapat pihak mendakwa kerajaan dilihat gagal dalam konteks pengurusan pandemik COVID-19, pembangkang pula dilabel tidak mampu bersatu untuk menjalankan peranan mereka.
Jelasnya, ketika ini visi dan misi serta cadangan untuk membawa negara keluar dari krisis kesihatan yang dikemukakan oleh pembangkang, adalah kurang.
"Kelemahan pembangkang ini ialah mereka kurang wawasan dan visi untuk negara ini dan kita masih lagi menanti perkara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Rebut Jawatan #Perdana Menteri #Majlis Profesor Negara #MPN #Shamsul Amri Baharuddin #Muhyiddin Yassin #rentas parti
;