Pemilihan UMNO: Wan Rosdy gariskan sebab kenapa tawar diri bertanding Naib Presiden
Mohd Zalani Md Atan
Mac 2, 2023 18:19 MYT
Mac 2, 2023 18:19 MYT
KUANTAN: Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mededahkan sebab dia memilih untuk menwarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
Dalam sidang media khas di pejabatnya hari ini, dia yang juga menteri besar Pahang memberitahu sebab utama dia bertanding adalah untuk mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan kali ini.
“Sebenarnya ada satu kekosongan (Naib Presiden), dia ada tiga kerusi, penyandang ada dua, itu salah satu sebab (saya bertanding).
“Sebab kedua, kita semua tahu parti UMNO sekarang ini, sokongan rakyat terhadap UMNO semakin terhakis dan kita kena bangkit semula, kena bekerja sebagai satu pasukan.
“Mungkin sedikit sebanyak pengalaman saya selama mengurus dan mentadbir Pahang ini boleh saya bawa sekiranya diberi mandat untuk bersama kepimpinan parti,” katanya.
Jawatan Naib Presiden UMNO ketika ini disandang bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO bahagian Padang Terap, Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ismail Sabri tidak menghantar borang pencalonan bagi mengekalkan jawatan Naib Presiden selepas tarikh akhir ditetapkan pada Ahad lalu.
Mohamed Khaled dan Mahdzir pula sudah mengumumkan akan mempertahankan jawatan masing-masing.
Turut menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden UMNO adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ketika ditanya mengenai senarai calon yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden pada kali ini, Wan Rosdy berpandangan semua yang menawarkan diri mempunyai kekuatan masing-masing dan layak.
“Mereka yang menawarkan diri ini merasakan mereka layak dan ada hala tuju masing-masing, cuma sekarang ini, apa yang kita harapkan supaya perwakilan dapat memilih kombinasi, contohnya ada seorang menteri besar, ada ahli parlimen dan ada yang memegang jawatan lain di peringkat bahagian atau negeri.
“Saya harapkan yang pertama sekali kita mendapat mereka yang benar-benar setia dan kita tidak mahu sebagaimana ketika kita kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ada di kalangan kita ‘lompat’ yang itu kita tak nak.
“Dan saya percaya Presiden memang mengharapkan barisan (pimpinan) yang setia sebagai satu pasukan jadi kita boleh meminimumkan masalah dalaman,” katanya lagi.
Dia mengakui terdapat masalah dalaman yang masih wujud dalam UMNO dan perlu diuruskan dengan baik untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap parti kembali pulih.
“Untuk (proses) pemulihan UMNO ini ada banyak strategi jangka masa pendek pun kita kena buat, jangka masa sederhana pun kita kena ada, jangka masa panjang pun perlu kita laksanakan.
“Kita mempunyai sokongan akar umbi yang berstruktur, sebab itulah dalam keadaan tsunami (politik) macam mana pun, kita masih mampu bertahan,” katanya.
Wan Rosdy bagaimanapun percaya perwakilan UMNO boleh membuat keputusan bijak dalam pemilihan kali ini.
Dia turut mengakui sedia menerima dengan hati terbuka selepas proses pemilihan selesai pada 18 Mac ini, sama ada menang atau tewas, dia akan terus setia dengan UMNO.
Pada pemilihan UMNO kali ini, seramai 150,000 perwakilan daripada 191 Bahagian akan mengundi calon bagi jawatan Naib Presiden, Majlis Tertinggi (MT) dan jawatan lain yang dipertandingkan.
Sebanyak 118 pencalonan diterima bagi merebut jawatan tertinggi parti, khususnya Naib Presiden dan ahli MT.