Pemilihan UMNO wajar diadakan secepat mungkin - Wan Agyl

Astro Awani
Disember 26, 2022 05:00 MYT
Penganalisis politik mencadangkan semua jawatan dalam UMNO termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan bagi terus menyuburkan amalan demokrasi dalam parti berkenaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pemilihan UMNO wajar diadakan secepat mungkin bagi memberi pencerahan kepada akar umbi mengenai kepimpinan dan hala tuju parti, kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan.
Menurutnya, walaupun pemilihan boleh diadakan bila-bila masa dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun beliau berasakan adalah lebih baik sekiranya ia diadakan lebih awal.
“Adalah penting bagi pimpinan UMNO menjelaskan keputusan mereka untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim secepat mungkin.
BACA: Pemilihan UMNO: Semua jawatan perlu dipertandingkan demi maruah parti - Muqharabbin
“Adalah penting juga bagi pimpinan untuk mendengar suara akar umbi mengenai prestasi terburuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Tambahnya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung dari 11 hingga 14 Januari ini mesti digunakan untuk memberi penjelasan mengenai siapa yang harus memimpin parti dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kini, hala tuju nampak tidak jelas dan ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kerana komunikasi dalaman yang tidak baik,” ujarnya.
Pemilihan UMNO | Semua jawatan dalam parti perlu dipertandingkan
Astro AWANI pada Ahad melaporkan, penganalisis politik mencadangkan semua jawatan dalam UMNO termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan bagi terus menyuburkan amalan demokrasi dalam parti berkenaan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian berkata, perkara itu kini menjadi lebih penting ketika ini bagi menampakkan proses perubahan yang cuba dibawa UMNO, selain mewujudkan keabsahan kepimpinan dan perpaduan dalam parti.
Sehari sebelumnya, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, beliau berpendapat UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.
Tegasnya, ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam buat UMNO selepas kalah teruk dalam PRU15.
#Pemilihan UMNO #PRU15 #pilihan raya umum #Pemuda UMNO
;