Pemilihan UMNO: Usul tambahan sah, diperakui KDN - Zahid

Abdul Hafiz Mustadi
Mac 7, 2023 00:13 MYT
Zahid ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon UMNO Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada sesi pemilihan parti itu yang akan datang adalah sah.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Dalam Negeri melalui satu surat yang memperakui keabsahan usul kelapan tersebut.
"Setiausaha Agung UMNO telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia memberikan keabsahan bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2022 telah membawa usul yang kelapan, iaitu jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak akan ditandingi.
"Perkara ini adalah setelah Pengerusi Tetap mengikuti semua peraturan yang termaktub dalam peraturan mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung UMNO.
"Begitu juga usul yang telah dibuat itu juga mengikut perlembagaan parti yang menyebutkan Fasal 9.3 dan 9.4 yang ditafsirkan bahawa jawatan-jawatan semua mesti dipertandingkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Pengenalan Calon UMNO Negeri Sabah di Kota Kinabalu Pada Selasa.
Tambah Zahid, keabsahan usul tambahan atau usul kelapan UMNO yang diperakui oleh Menteri Dalam Negeri itu selari dengan Akta Pertubuhan 1996 Perkara 70 yang memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk menentukan keabsahan peraturan dan perlembagaan parti terbabit.
"Maka surat yg dikemukakan oleh KDN itu adalah surat yang menyebutkan bahawa kuasa untuk menentukan Akta Pertubuhan 1996 Perkara 70 adalah memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk memberikan keabsahan terhadap peraturan dan juga perlembagaan UMNO itu dipatuhi.
"Ini kerana Akta Pertubuhan 1966 menyebutkan tugas ROS adalah untuk menjaga kepentingan ahli-ahli mana-mana badan yang berdaftar dengan ROS dan kepentingan ahli itu mengikut sebagaimna yang termaktub dalam perlembagaan," tambahnya.
Terdahulu, tular satu surat daripada ROS yang menyatakan usul kelapan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada Perhimpunan Agung Umno sebagai tidak sah berdasarkan fasal 9.3 perlembagaan UMNO itu sendiri.
Walau bagaimapun, surat ROS itu kemudian disangkal oleh kenyataan media Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengisytiharkan memberi pengecualian terhadap usul tambahan UMNO tersebut sekali gus menyaksikan Seksyen 13(1), (c), (iv), Akta 832 dikecualikan kepada UMNO.
#Pemilihan UMNO #usul tambahan #Zahid Hamidi #keabsahan usul
;