Pemilihan UMNO: Tiga pencalonan Ketua Pemuda UMNO ditolak

Sinar Harian
Mac 2, 2023 21:46 MYT
Tiga calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO ditolak dalam pemilihan parti ini bagi sesi 2023-2023. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tiga calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO ditolak dalam pemilihan parti ini bagi sesi 2023-2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, keputusan itu diambil berikutan kesemua individu itu tidak memenuhi kelayakan perlembagaan parti.
"Yang kita tolak Ketua Pemuda tiga (calon) atas (faktor) kelayakan yang tidak memenuhi perlembagaan parti," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses cabutan nombor undi di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Khamis.
Bagaimanapun Shahrir tidak menjelaskan lebih lanjut senarai tiga calon yang telah ditolak itu.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan lapan calon sah bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bagi sesi kali ini.
Dua calon itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid disahkan bertanding bagi mempertahankan jawatan tertinggi parti berkenaan.
Calon lain termasuk tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tiga calon lagi adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaludin.
Dalam pada itu, enam calon disahkan merebut jawatan Ketua Puteri UMNO iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Tiga calon lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.
Dalam perkembangan sama, seramai empat calon mengesahkan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.
Mereka merupakan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau; Dr Muhamad Akmal Saleh; Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.
- Sinar Harian
#Pemilihan UMNO #Ketua Pemuda UMNO #pencalonan ditolak #Shahrir Abdul Samad
;