Pemilihan UMNO: Strategi politik untuk pecah undi - Jeniri
Sinar Harian
Jun 17, 2018 07:50 MYT
Jun 17, 2018 07:50 MYT
Pertembungan tujuh calon merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti 30 Jun ini dilihat sebagai satu strategi politik untuk memecahkan undi.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Jeniri Amir berkata, ini kerana hanya tiga daripada tujuh calon yang menawarkan diri untuk bertanding itu yang dikenali ramai dan mempunyai wibawa untuk mengemudi parti.
"Tiga calon itu melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah dan Khairy Jamaludin Abu Bakar memang diketahui kemampuan mereka. Seorang lagi melibatkan blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz yang kurang dikenali.
"Manakala tiga calon lagi saya tidak pasti siapa. Empat calon yang kurang dikenali dilihat sekadar untuk memecahkan undi seperti mana KJ (Khairy Jamaludin) yang menawarkan diri untuk jawatan presiden untuk memastikan undi terarah pada Datuk Seri Ahmad Zahid," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Jeniri berkata, walaupun ia menunjukkan keterbukaan demokrasi dalam UMNO, pemimpin yang bakal menerajui parti itu sudah tentu akan memihak kepada calon yang berwibawa, berintegriti, mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melakukan transformasi dalam parti Melayu tertua itu.
"Kriteria itu menjadi penanda aras yang amat tinggi untuk menjadikan UMNO kembali dihormati.
"Semua itu dapat dilihat pada Datuk Seri Ahmad Zahid, KJ dan Ku Li (Tengku Razaleigh) yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri," katanya.
Menurutnya, Ahmad Zahid dikenali ramai, malah mempunyai jentera yang kuat, tetapi beliau turut terpalit beberapa isu dan didakwa bersekongkol dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ku Li pula berpengalaman luas luar dan dalam parti, pernah bertanding jawatan Presiden UMNO dan kalah dengan beza 43 undi sahaja. Beliau juga pernah menjadi Menteri Kewangan serta Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan menerajui Petronas.
"Khairy Jamaludin pula pemimpin muda dinamik. Dalam keadaan sekarang, ruang untuk beliau agak sempit kerana kurang berpengalaman berbanding dua pemimpin tadi. Saya tak nafikan potensi beliau (memimpin), tetapi mungkin beliau perlu diberi peluang," katanya.
Petang semalam, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya menerima tujuh calon yang menawarkan diri untuk jawatan Presiden dalam pemilihan parti kali ini.
#Ab Rauf Yusoh
#ahmad zahid
#Jeniri Amir
#Khairy Jamaluddin
#Najib Razak
#Tengku Razaleigh Hamzah
#UMNO
#Zahid Hamidi