Pemilihan UMNO: 'Saya tetap bersama membantu parti' - Hishammuddin
Hasimi Muhamad
Mac 22, 2023 20:53 MYT
Mac 22, 2023 20:53 MYT
KUALA LUMPUR: Walaupun tidak berada dalam barisan utama kepimpinan UMNO, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan tetap bersama membantu parti dalam kapasiti dirinya.
Ahli Parlimen Sembrong itu, yang digantung keahlian daripada UMNO selama enam tahun, berkata beliau berpegang teguh bahawa perkara yang penting adalah parti.
"Insya-Allah secara peribadi, saya tetap bersama-sama membantu parti dalam kapasiti diri saya.
"Saya berpegang teguh, perkara yang penting adalah parti dan ia sentiasa menjadi pegangan utama saya dalam apa jua keadaan sekalipun," kata Hishammuddin dalam kemas kini di laman Facebook, pada Rabu.
Dalam masa yang sama, bekas Menteri Pertahanan itu berharap barisan kepimpinan baharu yang dipilih dan dilantikan pada Pemilihan UMNO 2023-2026, menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka.
"Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 telah pun melabuhkan tirai. Walaupun tidak dapat bersama kali ini, namun saya mengikuti rapat perkembangan pemilihan sepanjang ianya berlangsung.
"Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh ahli akar umbi yang telah menjalankan tanggungjawab. Yang menang, tidak menang semuanya dan yang kalah tidak kalah semuanya.
"Peliharalah parti ini dengan baik. Semestinya cabaran di depan lebih besar dan menduga," tambah Hishammuddin.
Proses pemilihan parti Melayu itu membabitkan 187 bahagian di seluruh negara selesai, baru-baru ini.
Pada pemilihan tersebut, tiga kerusi Naib Presiden UMNO yang dipertandingkan dimenangi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Seorang lagi yang mengisi jawatan tersebut ialah penyandang jawatan itu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Antara muka lama yang kembali dalam organisasi parti ialah bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selepas dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Shahrizat tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita UMNO kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.