Pemilihan UMNO: Saifuddin nafi buat keputusan peribadi, boleh cabar di mahkamah
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2023 19:02 MYT
Mac 8, 2023 19:02 MYT
KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pengecualian kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, boleh mencabar perkara itu di mahkamah, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Selain itu, Menteri Dalam Negeri itu menafikan membuat keputusan secara peribadi berhubung pengecualian tersebut.
Sebaliknya, tegas beliau pengecualian tersebut mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penasihat undang-undang di kementeriannya.
"Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah melakukan penelitian dan memanggil peguam yang berkenaan untuk teliti dokumen dan minta dokumen tambahan dan sesuai dengan tanggungjawab dan fungsi tugas utama (RoS), dan dia mengangkat keputusan yang kita sedia maklum (pengecualian).
"Pada masa yang sama Seksyen 70 Akta (Pertubuhan 1966) ini juga memberi secara khusus kuasa kepada menteri untuk buat pengecualian.
"Sudah tentu YB pernah menjadi menteri di kementerian, kita ada penasihat undang-undang dan ianya bukan soal menteri secara peribadi membuat keputusan.
"Bila kita invoke perkara itu, pengecualian adalah terarah kepada pengecualian kepada pematuhan Seksyen 13 dalam Akta Pertubuhan.
"Pilihan seterusnya, jika pengadu tidak berpuas hati dan mengatakan menteri melampaui batas kuasa, pilihan yang ada adalah dia mesti mengemukakan asas pernyataan dan afidavit mengikut saluran undang-undang.
"Kami (KDN) akan diminta menjawabnya, dan kemudian mahkamah adalah saluran yang akan menentukannya," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudian bangkit, yang antaranya menyentuh mengenai ketulenan surat yang tular, didakwa menyatakan keputusan usul tambahan daripada UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, adalah tidak sah.
"Saya kira Dewan yang mulia ini perlu tahu dan mendapatkan maklumat yang sebenar, adakah surat ini surat yang tulen dan selepas itu baru mempertikaikan kandungannya.
"Mengikut surat ini, jika ia betul menyatakan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, jawatan Presiden, Timbalan, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi dipertandingkan," katanya.
Selain itu, Takiyuddin turut membangkitkan apakah asas kepada pertimbangan untuk memberikan pengecualian tersebut, dan adakah keputusan Saifuddin Nasution menjadi 'binding precedent' atau duluan yang mengikat kepada parti-parti lain pada masa akan datang.
Begitupun Saifuddin enggan mendedahkan 'asas' pengecualian tersebut, dengan alasan ia urusan kerajaan dan diklasifikasikan sebagai sulit.
"Saya tak mahu pergi secara terperinci 9.3 Perlembagaan UMNO, harus dibaca bersekali 29(1) dan 32... Saya pun hafal.
"Isunya adalah, ada aduan dan RoS telah membuat satu keputusan dan YB (Takiyuddin) sedia tahu urusan koresponden kerajaan ini ada klasifikasi sulit, rahsia dan rahsia besar. Tak akan kita nak buka semua itu. Mesti ada alasan dan sebabnya.
"Saya sendiri meneliti fasal-fasal sebelum buat keputusan sehingga saya betul-betul puas hati, dan dengan kefahaman yang jelas dengan keputusan ini ada implikasinya yang boleh mengundang tindakan atau proses seterusnya di mahkamah," kata beliau.
Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.
Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.
Sementara itu, Takiyuddin di Dewan Rakyat semalam mendedahkan wujud surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa usul tambahan dalam PAU2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.
Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip PN itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan itu tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.