Pemilihan UMNO: Perlu perubahan drastik, radikal menjelang PRU15 - Wan Agyl

Harits Asyraf Hasnan
April 6, 2021 17:03 MYT
Wan Agyl gusar sama ada kepimpinan UMNO hari ini mampu atau tidak membawa parti itu menghadapi dan memenangi PRU15. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengambil langkah drastik dan radikal untuk berubah, tegas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan.
Jelasnya, ia penting supaya imej UMNO dipulihkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Saya setuju supaya UMNO mengambil langkah-langkah yang drastik dan radikal untuk berubah kerana hanya parti yang mempunyai pendekatan yang drastik dan radikal bagi memenuhi keperluan dan penerimaan rakyat sahaja yang akan boleh dipilih pengundi-pengundi pada PRU15.
"Sekiranya UMNO masih kekal dalam keadaan dan status yang sama, saya risau rakyat akhirnya terbuka memilih mana-mana parti politik pada PRU15 kerana bagi mereka semua parti politik sama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Ditanya berkenaan sama ada perlu pemilihan UMNO disegerakan bagi memulihkan keyakinan ahli dan rakyat secara umumnya, Wan Agyl menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk membuat keputusan bijak.
"MT mempunyai satu kedudukan yang istimewa dan diberi mandat oleh ahli-ahli untuk membuat tindakan yang radikal.
"Akhirnya, objektif utama adalah untuk memastikan UMNO bersedia menghadapi PRU15 dan segala masalah-masalah yang dihadapi parti perlu diuruskan dan diselesaikan oleh MT.
"Saya rasa pilihan ketiga ini, MKT kena ambil tanggungjawab dan bersifat bebas daripada unsur-unsur yang boleh menyekat mereka (MT) daripada membuat keputusan yang luar biasa bagi perjalanan parti," jelasnya.
Antara kebimbangan beliau sekiranya pemilihan UMNO dilakukan sebelum PRU15 adalah tindakan mensabotaj oleh sesetengah individu yang tewas dalam proses pemilihan.
Namun kata Wan Agyl, sekiranya Pemilihan UMNO tidak dilakukan sebelum PRU15, beliau gusar sama ada kepimpinan UMNO hari ini mampu atau tidak membawa parti itu menghadapi dan memenangi PRU15.
#Pemilihan UMNO #pilihan raya umum #PRU15 #pilihan raya #politik #Pemuda UMNO #pemilihan #majlis tertinggi
;