Pemilihan UMNO: Menang atau kalah, jangan merajuk, keluar parti - Mahdzir

Abd Hadi Che Awang
Mac 18, 2023 15:57 MYT
Mahdzir berkata, kesemua mereka perlu membuang sikap merajuk dan kecewa sehingga mengambil keputusan meninggalkan serta membelakangkan perjuangan parti. - Gambar fail
KUALA NERANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan kesemua calon yang bertanding dalam pemilihan parti sama ada di peringkat Bahagian dan Pusat, agar terus kekal setia bersama parti tanpa mengira apa jua keputusan kelak
Menurut beliau, kesemua mereka perlu membuang sikap merajuk dan kecewa sehingga mengambil keputusan meninggalkan serta membelakangkan perjuangan parti.
Perkara itu adalah demi memastikan kekuatan UMNO dapat diperkukuhkan selain parti terus relevan pada masa akan datang.
Mengulas mengenai perebutan bagi jawatan Naib Presiden yang disandangnya ketika ini, Mahdzir menyerahkan sepenuhnya kepada pertimbangan kira-kira 190,000 perwakilan parti dalam membuat keputusan masing-masing.
Tegas beliau, perkara terpenting bagi kesemua calon yang bertanding adalah mempunyai semangat juang yang tinggi untuk parti dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan UMNO.
"Macam saya katakan tadi, saya adalah ahli parti, sudah lama saya menjadi ahli parti, berada dalam perjuangan ini dan insya-Allah kita (akan terus) berada bersama-sama,
"Macam itulah saya punya nasihat kepada kepimpinan (terutama calon yang bertanding), yang dapat tempat (dan menang) tahniah, yang tidak dapat tempat teruskan ada bersama parti,
"Tidak perlu sampai hendak kena merajuk, lari, keluar parti dan sebagainya, (kita kena) bersatu balik, buat balik (parti), (dan dengan itu) insya-Allah parti ini ada masa depan (yang baik)," katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika ditemui media selepas mesyuarat perwakilan Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Kuala Nerang pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru kesemua kepimpinan parti yang akan dipilih kelak terutama melibatkan bahagian-bahagian di Kedah untuk berada pada haluan yang sama selepas pemilihan hari ini.
Ini kerana ia dapat menyatupadukan kekuatan keseluruhan jentera terutama sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang dijangka diadakan pada Jun atau Julai depan.
Pada pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026, seramai lapan calon menawarkan diri bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden termasuk Mahdzir sendiri.
Selain beliau seorang lagi penyandang, yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut bertanding dalam mempertahankan jawatan disamping tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tiga lagi calon lain adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad dan Ahli Parlimen Pengerang, dan calon kurang dikenali, Mohd Yusof Musa.
#Pemilihan UMNO #Mahdzir Khalid #jangan merajuk #keputusan pemilihan
;